mutakhir

Penduduk tak kenal suspek bunuh pensyarah

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

"KAMI tidak mengenali suspek, kerana tidak pernah nampak sebelum ini. Cuma perempuan (mangsa) sahaja yang sering dilihat meninggalkan komen dalam kumpulan WhatsApp untuk jemaah wanita," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.

Penduduk berkenaan hanya memperkenalkan dirinya sebagai bekas imam di Taman Putra Perdana itu berkata, rumah mangsa berhampiran rumahnya, yang hanya 'dipisahkan' dengan taman permainan.

"Rumah saya dan mangsa sama-sama mengadap padang (permainan), tetapi memang tidak pernah terserempak dengan mangsa. Dia hanya dikenali dalam kalangan jemaah wanita di taman ini.

"Apa yang terjadi ini memang mengejutkan, kita hanya tahu mengenai kes pembunuhan berkenaan melalui berita di televisyen sahaja.

"Hari ini keadaan kecoh sedikit selepas penduduk melihat kawasan berdekatan lombong dipasang tali garisan oleh pihak polis bagi menghalang orang ramai menghampiri kawasan itu," katanya ketika ditemui berhampiran lokasi pencarian bahan bukti bagi kes pembunuhan seorang pensyarah wanita, minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, selepas tiga jam operasi mencari bahan bukti di lombong berkenaan, pihaknya masih tidak menemui telefon bimbit mangsa yang didakwa dicampak oleh suspek.

"Dah habis (operasi pencarian bahan bukti) tapi tak jumpa barang kes," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan sepasukan penyelam dari Unit Selam Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerahkan ke Tasik Perdana Putra sejak 11 pagi, hari ini bagi mencari telefon bimbit milik pensyarah wanita yang mati dijerut Rabu lalu.

Turut dibawa ke lokasi, suspek lelaki berusia 41 tahun bagi membantu siasatan.

Difahamkan ini adalah kali kedua penyelam PDRM dan suspek hadir ke lokasi yang sama bagi mencari bahan bukti.

Sebelum ini, suspek dilaporkan berang dengan tindakan isterinya mahu failkan pengesahan cerai, bertindak menjerut leher wanita itu menggunakan tudung hingga mati.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, suspek meninggalkan mayat isterinya di dalam kereta mereka berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil.

Selepas kejadian itu, suspek difahamkan pulang ke rumah mereka di Putra Perdana dan mengajak anak perempuan mereka berusia 14 tahun keluar mencari mangsa menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Berita berkaitan

Anak mangsa bunuh stabil

Tempahan e-hailing bongkar pembunuhan pensyarah

Selam cari telefon bimbit pensyarah dibunuh

Kes bunuh pensyarah: Suami dipercayai curang

Cari isteri hanya lakonan suami

Anak mangsa luah rindu

Bunuh isteri guna tudung

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 3:48pm
d