mutakhir

Lelaki lacur anak, isteri didakwa esok

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PEMANDU lori yang menjadikan anaknya berusia 13 tahun sebagai pemuas nafsu dan melacurkannya serta isteri akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat berkata, suspek berusia 43 tahun itu akan dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Klang atas kesalahan melacurkan anak kandung dan isteri secara paksaan.

"Selain itu, pada hari yang sama tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia antara 29 hingga 35 tahun, juga pelanggan kepada mangsa kanak-kanak berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Kajang atas kesalahan merogol.

"Bapa kandung mangsa akan didakwa mengikut Seksyen 13(b) & 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dengan tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen (ATIPSOM) Klang," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, empat warga asing berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan di Mahkamah Kajang.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lelaki itu ditahan di Pandan Indah, manakala lima lelaki warga asing terbabit pula ditahan dalam serbuan berasingan di Batu 9, Cheras dan Kajang pada 13 Julai lalu.

Tangkapan itu dibuat susulan laporan polis dibuat ibu saudara remaja perempuan berkenaan yang memaklumkan mangsa dirogol sejak berusia 10 tahun dan dilacurkan bapa kandungnya pada pertengahan 2019 hingga Februari lalu.

Berita berkaitan

Bapa rogol, lacur anak direman bawah ATIPSOM

Bapa melacurkan anak direman

Reman bapa, 5 lelaki langgan anak dilacur dilanjut

Dilacur bapa RM100

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 1:39pm
d