mutakhir

4 'pelanggan' didakwa rogol, cabul kanak-kanak

Oleh BERNAMA

TIGA warga Pakistan dan seorang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang hari ini atas pertuduhan merogol serta mencabul kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun sejak dua tahun lalu.

Warga Pakistan, Muhammad Haque Anwar Ul, 34; Yousaf Gul, 35; Astar Khan, 29, dan warga Bangladesh, Md Suhag Hosan, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Bangladesh dan Urdu.

Mengikut kertas pertuduhan, Yousaf didakwa merogol mangsa ketika itu berusia 11 tahun di kondominium Batu 9 Cheras, Hulu Langat pada November 2018 sementara Muhammad Haque dan Mg Suhag turut dituduh melakukan kesalahan serupa di tempat sama pada 2019.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Astar pula didakwa dengan sengaja menyentuh bahagian badan kanak-kanak itu di tempat sama pada November 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat tidak menawarkan jaminan memandangkan semua tertuduh warga asing, namun Muhammad Haque yang diwakili peguam, Dr Pritam Singh Doal memohon dibenarkan diikat jamin kerana mempunyai saudara yang berkahwin dengan rakyat tempatan.

Hakim Mohd Kafli Che Ali membenarkan Muhammad Haque diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan dan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta dilarang mengganggu mangsa sehingga selesai kes.

Tiga lagi tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak dibenarkan diikat jamin.

Mahkamah menetapkan 5 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi keempat-empat lelaki itu.

Pada 11 Julai lalu, ibu saudara mangsa mendakwa mangsa dirogol dan dilacurkan bapa kandung sendiri di sebuah kondominium di Hulu Langat sejak 2017.

Sebelum ini, pada 6 Ogos lalu, seorang pemandu lori yang juga bapa kepada kanak-kanak perempuan itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan melakukan eksploitasi seks terhadap isteri dan anaknya antara Januari 2015 dengan Februari tahun ini.

Mahkamah itu menetapkan 19 Ogos untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

Berita berkaitan

Bapa rogol, lacur anak direman bawah ATIPSOM

Bapa melacurkan anak direman

Reman bapa, 5 lelaki langgan anak dilacur dilanjut

Dilacur bapa RM100

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 5:15pm
d