mutakhir

Tongkol pula mati

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Giliran kerbau kesayangan Muhammad Syukur Khamis, 15, yang dipanggil Tongkol pula mati kerana diserang penyakit hawar berdarah (HS).

Gambar Syukur bersama Tongkol yang dirakam jurugambar bebas, Yusuf Madi itu baru saja tular selepas memenangi gambar terbaik bulanan untuk Ogos yang dianjurkan Asian Geographic serta diumumkan pada 1 September lalu.

Muhammad Syukur berkata, dua kerbau kesayangan dan paling banyak berjasa kepadanya mati pada hari ini.

"Semek ditemui mati pagi tadi, Tongkol pula mati kira-kira jam 5 petang.

"Saya sedang memandikan Tongkol sebelum ia tiba-tiba menggelupur dan mati.

"Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya ketika ini. Rasa sangat sedih dengan apa yang berlaku sekarang," katanya.

Dia berkata, kerbau jantan berusia enam tahun itu mengalami tanda-tanda penyakit HS seperti selsema sejak tengah hari semalam.

"Sejak pagi tadi saya bersama adik-beradik lain berusaha menenangkan Tongkol dengan menyuap minuman dan sentiasa membasahkan badannya dengan harapan Tongkol boleh diselamatkan.

"Ingatkan Tongkol mampu bertahan tetapi sebaliknya apabila mati pada petang ini," katanya.

Menurutnya, keistimewaan kerbaunya itu kerana ia antara ternakan yang mudah untuk diuruskan ketika sesi bergambar.

"Baru saja gambar saya meniarap di atas badan Tongkol dipilih gambar terbaik bulan Ogos seterusnya layak ke pusingan akhir pertandingan itu pada Mac tahun hadapan.

"Bagaimanapun apa boleh buat, sudah ajal Tongkol untuk mati hari ini kerana penyakit itu.

"Sekarang tinggal Baba dan Along yang masih bertahan. Hanya tinggal gambar sebagai kenangan saya bersama Tongkol," katanya.

Sementara itu Yusof berkata, dia juga sedih dengan berita kematian kerbau yang dipanggil Tongkol itu.

"Tongkol senang untuk diuruskan ketika sesi bergambar berbanding kerbau yang lain.

"Saya dan Muhammad Syukur baru saja berkongsi kegembiraan selepas gambar itu dipilih pemenang bulanan pertandingan itu dan menerima banyak ucapan tahniah," katanya.

Berita berkaitan

'Saya lega dan terharu' - bapa 'Mowgli Malaysia'

9 lagi kerbau 'Mowgli Malaysia' mati pagi ini

'Hari paling sedih dalam hidup saya'

Kandang kerbau Syukur ditutup JPV

5 lagi kerbau Syukur mati [METROTV]

Peminat jumpa 'Mowgli Malaysia' beri sokongan moral

''Syukur kena sabar, ada hikmah tersembunyi' - Menteri Agama'

'Kerbau 'Mowgli' mati kerana hawar berdarah [METROTV]'

'30 kerbau 'Mowgli' mati mengejut [METROTV]'

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 6:30pm
d