mutakhir

Isteri Dr Wan Hassan cam wajah suspek

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tiga suspek lelaki kes samun dan bunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Dr Wan Hassan Wan Embong berjaya ditahan selepas wajah mereka dapat dicam isteri mangsa.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, isteri mangsa yang turut berada di tempat kejadian mengecam ketiga-tiga suspek dan memudahkan tangkapan tujuh lagi lelaki terbabit dalam kes itu dilakukan.

"Sehingga 11.24 malam tadi, polis menahan 10 lelaki (termasuk tiga yang berjaya dicam isteri mangsa) berusia 20 hingga 29 dan membuat 22 rampasan termasuk kereta yang digunakan suspek.

"Siasatan mendapati seorang daripada suspek turut didapati membuang dompet mangsa di lokasi samun kedua di Taman Titiwangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Saiful Azly berkata, semakan mendapati lapan suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik.

"Polis turut menemui kereta digunakan semasa kejadian samun berkenaan yang diletakkan suspek di stesen minyak di Taman Melati.

"Polis kini giat mengesan seorang lagi suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan," katanya.

Semalam media melaporkan Wan Hassan maut ditetak perompak dalam kejadian rompakan di Bukit Bandaraya di sini.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu rumah dihuni mangsa dan isteri, Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

Suspek yang tidak memakai topeng meminta duit menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan.

Suspek bertindak secara berkumpulan itu kemudian menyamun lagi sebuah kediaman banglo tiga tingkat yang didiami 10 ahli keluarga di Taman Tasik Titiwangsa pada hari yang sama.

Berita berkaitan

10 suspek kes bunuh Dr Wan Hassan ditahan

Penjenayah tetak Dr Wan Hassan diberkas

Penjenayah tetak Dr Wan Hassan, rompak rumah jurutera pula

Perompak disyaki guna laluan belakang

Arwah minta terbitkan buku Panduan Mudah Membaca al-Quran [METROTV]

[Update] Mangsa cuba melawan perompak

Doktor maut ditetak perompak

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 4:46pm
d