utama

Nekad turun dengan tujuh rakan

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

SEORANG pelajar yang terselamat, Mohd Danial Borhan, 15, sedang tidur dan terjaga apabila terhidu bau asap dan terdengar jeritan memaklumkan berlaku kebakaran.

Dia yang baru sebulan menuntut di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah segera mencari jalan keluar tetapi laluan pintu depan sudah terhalang berikutan api semakin marak.

"Saya nekad keluar mengikut tingkap dengan berpaut pada batang paip untuk turun dan berjaya menyelamatkan diri bersama tujuh rakan lain," katanya.

Menurutnya, terdapat kira-kira 30 pelajar berada di tingkat dua bangunan terbabit.

Dalam pada itu, penduduk yang cuba naik untuk membantu membawa keluar pelajar terbabit, mereka hanya sampai ke pintu masuk asrama disebabkan bahang yang amat kuat daripada api yang sedang marak.

Seorang pemandu, Baharuddin Sudin, 48, berkata, dia menyedari kebakaran itu pada jam 5.15 pagi.

"Ketika itu saya mendengar bunyi jeritan meminta tolong daripada pelajar yang berada di tingkat tiga dan memang sedang marak.

"Ada di antara mereka yang cuba memecahkan cermin tingkap dan memanjat keluar menggunakan saluran paip di bahagian tepi bangunan. Saya cuba naik hingga ke tingkat satu untuk membantu membawa mereka keluar namun gagal," katanya.

Menurutnya, dalam beberapa minit selepas itu, bunyi jeritan meminta tolong itu tiba-tiba senyap selepas asap hitam keluar.

Seorang kontraktor, Shahirman Shahril, 39, berkata, dia dan beberapa lagi penduduk berhampiran menjerit kepada pelajar yang terperangkap supaya melompat turun ke bawah.

"Ada tiga hingga empat pelajar yang melompat daripada bangunan. Saya dan penduduk cuba menyambut mereka di bawah, namun disebabkan ketinggian tingkat berkenaan, dukar untuk kami sambut mereka.

"Apa yang saya lihat mereka mengalami kelecuran yang agak teruk.Masih terngiang-ngiang bunyi jeritan meminta tolong mereka, saya berasa sungguh sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan, 14 pelajar dan empat guru pusat tahfiz yang terbakar pagi tadi berjaya menyelamatkan diri.

Berita berkaitan

'Mahu tolong ibu ayah ke syurga Firdaus' [METROTV]

Nekad turun dengan tujuh rakan

'Tolong bang...tolong bang' [METROTV]

Ya Allah, 24 semuanya terkorban

Api menjulang ketika azan subuh

20 maut, 3 kritikal, 2 separa kritikal

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 11:32am
d