utama

[UPDATE] 'Lihat abang, adik tenggelam, terkapai-kapai...'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“Apabila Lukman beritahu dia juga sudah tak berdaya saya mahu pergi ke arah mereka, namun saya juga tak berdaya ketika itu kerana kepenatan.

"Apabila sudah sampai di tepi tiba-tiba saya lihat Lukman dan Raihan tenggelam dan saya lihat hanya tangan mereka terkapai-kapai,” kata Kamaruddin Abd Samad,18.

Kamaruddin adalah mangsa yang terselamat, namun abangnya, Lukman,20, dan adik bongsunya, Muhammad Raihan,6, lemas dalam kejadian di tali air Peringkat 10, Felcra Changkat Lada, 11.30 pagi hari ini.

Menurut Kamaruddin, sebelum kejadian itu dia bersama ibu bapanya Jamaiyah Mohd Yusof,44, dan Abd Samad Abu,52, serta Lukman dan Muhammad Raihan selain seorang lagi adiknya Hasan,12, keluar memukat ikan pada 10 pagi.

Menurutnya, selepas menahan pukat mereka pulang dengan menaiki dua motosikal berasingan dan dia membonceng bersama Lukman dan Raihan manakala ibu bapanya bersama Hassan.

Katanya, abangnya itu pelajar Kolej Vokasional Seri Iskandar dan kini sedang menjalani latihan pratikal di Teluk Intan.

"Ketika itu saya cakap dengan Lukman 'Man, jom mandi' dan kami pergi kawasan bendang namun abang mengajak saya ke tempat lain kerana katanya di situ tidak menarik untuk mandi.

"Kami kemudian ke sini (lokasi) dan lihat airnya tenang dan kami berdua cuba berenang dahulu sebelum membawa Raihan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Katanya, ketika berenang dia membawa Raihan di belakang namun kemudian kepenatan dan beritahu pada Lukman sebelum abangnya itu pula mengambil Raihan untuk membantunya sebelum dia menyuruhnya berenang ke tepi.

"Namun selepas itu Lukman beritahu dia juga tidak berdaya dan saya ajak mereka ke tepi supaya kami boleh berpaut pada rumput.

“Abang yang membawa Raihan tiba-tiba terkapai-kapai sebelum dia mencapai tangan abangnya itu namun terlepas dan hilang dari pandangan,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian mencari abang dan adiknya itu serta terasa kepala adik tetapi sudah tidak dapat berbuat apa-apa dan terus meminta tolong kepada orang awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, laporan awal yang diterima memaklumkan tiga beradik itu dihanyutkan air yang berpusar ketika sedang mandi.

"Ketiga-tiga mereka cuba berenang ke tepi namun ketika hampir tiba di tebing dua mangsa terbabit dipercayai lemas.

" Mayat Lukman ditemui pada jam 4.50 petang sementara gerakan mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Raihan sedang giat dijalankan," katanya ketiha dihubungi.

Sehingga jam 6.30 petang, Muhammad Raihan masih belum ditemui dan SAR dijalankan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar dengan turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Ipoh masih diteruskan.

Berita berkaitan:

[UPDATE] Mayat abang dah ditemui, adik belum

Abang, adik terlepas pegangan

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 8:32pm
d