utama

[UPDATE] Tragedi Aqira: Lelaki mengaku main mercun

Oleh Ibrahim Isa

“KALAU saya nampak awak didakwa bermain mercun selepas ini, saya jatuhkan hukuman penjara," kata Majistret Mazana Sinin selepas menjatuhkan denda RM100 ke atas penyelia ladang kerana bermain mercun kelapa tanpa permit.

Tertuduh, Nor Isham Tukiman, 35, didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi selepas mengaku bersalah bermain mercun di FELDA Papan Timur, 14 Jun lalu.

Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa Nuraqira Khaeefa Mohd Saad, 7, meninggal dunia akibat parah di kepala selepas terkena serpihan mercun.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyalakan mercun kelapa dan diletak ke dalam paip pvc biru bertujuan menembak mercun ke udara.

Malangnya, mercun itu meletup di atas tanah di depan rumah mangsa.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 (1) Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana memasang bunga api tanpa lesen.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3 (5) Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan boleh didenda RM100 atau penjara maksimum sebulan atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh mengaku faham atas pertuduhan yang dibacakan dan mengaku bersalah.

Mazana kemudian berkata, ada sebabnya kerajaan mengharamkan atau hanya memberikan lesen kepada mereka yang mahu bermain mercun.

"Perbuatan kamu bukan saja membahayakan diri sendiri, dalam kes ini menyebabkan seorang kanak-kanak maut. Walaupun tidak ada niat, tetapi kena guna logik perbuatan itu bahaya atau tidak... kali ini saya bagi amaran terakhir tetapi jika kamu lakukan kesalahan sama saya akan penjarakan kamu mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlin Zeti Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Keluarga tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Nuraqira Khaeefa Mohd Saad, menghembuskan nafas terakhir pada 18 Jun selepas empat hari dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, apabila kepalanya terkena serpihan bekas mercun yang meletup, terpelanting dan terlekat di kepalanya pada malam Aidilfitri lalu.

Sebelum itu, mangsa bersama sepupu membersihkan halaman rumah datuknya di FELDA Papan Timur, Kota Tinggi, 14 Jun lalu.

Susulan kejadian Nor Isham ditahan polis pada di rumahnya di FELDA Papan Timur pada jam 1.30 tengah hari, 20 Jun lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian atau Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 33 Akta kanak-kanak.

Berita berkaitan

Suspek sebab kematian Aqira direman

Lelaki main mercun sebabkan budak maut ditangkap

'Lelaki main mercun sebabkan budak maut ditangkap'

Minta beli mercun, lakar gambar kepala [METROTV]

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/06/349877/tragedi-malam-raya

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 12:35pm
d