utama

Adik Aariz sudah tiada

Oleh Hardi Effendi Yaacob

BAYI lelaki, Aariz Harraz Zahin Azman, 9 bulan, yang dipercayai didera pengasuhnya, meninggal dunia di Hospital Sibu, hari ini.

Mangsa menghembuskan nafas terakhir, 11.55 pagi tadi di pangkuan ibunya selepas mesin bantuan hayatnya ditutup pada 11:30 pagi.

Bayi itu menerima rawatan sejak Isnin lalu dan disahkan ‘mati otak’ pada 9.10 pagi semalam oleh pasukan perubatan yang merawatnya.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai Jaya, Sibu, sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua-dua matanya selain mengalami retak di bahagian kiri kepala akibat hentakan kuat.

Suspek ditahan polis susulan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa dan dia kemudiannya mengakui menggoncang bayi terbabit kerana tidak berhenti menangis, selain mendakwa tertekan kerana mengalami kesakitan akibat datang bulan.

Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen untuk menjalankan pusat asuhan dan hanya membantu menjaga kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapanya pada waktu bekerja.

Berita berkaitan:

  • 'Terima kasih Allah pinjamkan Aariz Harraz Zahin'
  • Bangun sayang.....
  • Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 12:51pm
    d