utama

Isu berhala: Suspek mimpi Kaabah dikelilingi berhala

Oleh Faliq Lajim

SUSPEK yang meletakkan berhala di Surau Sabilul Huda dipercayai mempunyai masalah mental ‘gila isim’ selepas mempelajari ilmu agama yang salah di negara jiran.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya berjaya menahan lelaki berusia 37 tahun di rumah yang berada kira-kira 200 meter dari surau itu di Taman Pandamar Indah, dekat Klang, 6.15 petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang juga penganggur mengaku terbabit meletakkan patung secara bersendirian di surau terbabit.

“Berdasarkan keterangan suspek, lelaki itu meletakkan satu patung kepercayaan Buddha dikenali ‘Datuk Gong’ berikutan mahu mengajak mereka yang menganut agama berkenaan untuk sembahyang di surau terbabit.

“Dua lagi patung kepercayaan Hindu turut diletakkan berikutan tujuan yang sama.

“Suspek memaklumkan dia kerap bermimpi melihat Kaabah dikelilingi berhala dan percaya perlu bertindak melakukan perkara yang sama di surau berdekatan rumahnya itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Klang, hari ini.

Kata Shamsul Amar, suspek turut mengaku mengambil patung berkenaan di tokong kecil berhadapan rumah dan tempat pembuangan sampah di sekitar kawasan berkenaan.

“Suspek juga dipercayai baru sahaja pulang ke negara ini dari negara jiran selepas dipercayai bekerja serta menuntut ilmu agama yang salah (gila isim).

“Hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek juga mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu mendatangkan kecederaan pada 1997 dan kes curi pada 2000.

“Kita akan menjalankan siasatan menyeluruh merangkumi semua aspek dan tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai masalah mental,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 259 dan 379 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kes berhala berkenaan tidak membabitkan isu agama dan meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenainya.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan surau itu dilaporkan menemui dua patung berhala yang diletakkan di atas pagar masuk ke surau berkenaan.

Rabu lalu, berhala ‘Datuk Gong’ bersaiz lebih besar diletakkan di tepi pintu masuk surau.

Berita berkaitan

'Siapa letak berhala di surau? [METROTV]'

'[UPDATE] Patung berhala dicuri rupanya...'

'Tindakan tegas perlu diambil-Muhyiddin'

Dua lagi berhala di Surau Sabilul Huda [METROTV]

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 11:14am
d