utama

[UPDATE] Kerap dengar tangisan budak

Oleh Muhaamad Hafis

“SAYA kerap terdengar suara kanak-kanak menangis yang berlarutan pada waktu malam tetapi tak syak apa-apa kerana mungkin suara anak kakitangan di kuaters ini.

“Tetapi ada kalanya saya nak sangat naik ke rumah di tingkat atas (rumah suspek) tetapi membatalkan niat itu kerana memikirkan ia perkara biasa di kediaman ramai keluarga,” kata Mohd Faizal Zakaria, 49.

Mohd Faizal berkata, suara kanak-kanak itu didengari sekitar jam 1 pagi, namun suara suami isteri tidak dengar.

Katanya, dia tidak mengetahui ada kanak-kanak lain tinggal bersama suami isteri itu kerana mereka mempunyai empat anak yang masih kecil.

“Saya kenal dengan suspek lelaki itu dan kali terakhir berjumpa dengannya minggu lalu ketika dia baru pulang menghantar isterinya ke tempat kerja tetapi tak nampak apa-apa mencurigakan.

“Mereka tinggal di tingkat tiga dan saya tinggal di tingkat dua. Namun, suami isteri itu kelihatan tenang dan baik dengan jiran tetangga,” katanya ketika ditemui di Kuaters Perumahan Kakitangan Hospital Langkawi, di Langkawi, hari ini.

Mohd Faizal berkata, dia tidak mengetahui ada wanita Indonesia yang disyaki menjalinkan hubungan dengan suspek lelaki tinggal sementara itu di kuaters itu sebelum hubungan mereka diketahui isteri suspek.

Katanya, dia terkejut apabila mengetahui kejadian itu dan melihat kehadiran polis pagi tadi untuk menyiasat kejadian itu.

“Tak sangka kejadian ini berlaku di kuaters ini dan ia amat mengejutkan.

“Setiap pagi lelaki itu hantar isterinya pergi dan pulang dari kerja kerana dia tidak bekerja,” katanya.

Mohd Faizal berkata, ketika bertemu minggu lalu, suspek ada menegurnya dan kerap ternampak dia bersama anak-anaknya, tetapi kanak-kanak malang itu tidak kelihatan.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati, suami isteri itu dibawa ke lokasi dengan dua kenderaan berasingan ke kuaters berkenaan.

Selain itu, pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan K-9 tiba di lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut di tingkat tiga bangunan itu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Panik punca buang mayat

[UPDATE] Hanya cebisan rambut, tengkorak Nur Aisyah

[UPDATE] Mayat Nur Aisyah dah ditemui

Dari Langkawi lari ke Ampang...

'Kanak-kanak perempuan 3 tahun hilang'

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 3:19pm
d