utama

'Akhir bulan boleh selesai' [METROTV]

Oleh Skuad Khas Harian Metro

PEMBEKALAN 9,000 pasang baju kalis api baharu bagi menggantikan baju yang usang dan rosak untuk kegunaan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara dijangka selesai akhir bulan ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata, ketika ini penilaian terhadap penender sedang dilakukan di peringkat jawatankuasa bomba.

Tender bagi pembelian baju kalis api yang dibuka 23 Januari lalu itu, katanya, sudah pun ditutup dan anugerah tender akan diluluskan selepas penilaian terhadap penender dengan kriteria tertentu selesai dibuat.

“Saya pun dah tanya bila mereka nak ‘award’ (luluskan) tender baju kalis api. Sekarang sudah bermula proses membuat semakan penender, jadi sepatutnya tak ambil masa yang lama.

“Saya akan tanya lagi. Sepatutnya akhir bulan ini boleh diselesaikan (isu baju kalis api),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Menteri KPKT Bersama Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) Kampung Baru, di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Pada 21 Januari lalu, Zuraida mendedahkan proses tender membeli 9,000 pasang baju kalis api dibuka 23 Januari biarpun agensi itu hanya kekurangan 6,000 pakaian keselamatan itu.

Pengumuman dilakukan Zuraida itu adalah susulan pendedahan eksklusif Harian Metro mengenai sembilan balai JBPM di seluruh negara berdepan masalah kekurangan baju kalis api yang kritikal berikutan tiada pembelian baharu dibuat sejak 2017.

Masalah itu diburukkan lagi dengan 6,000 pakaian keselamatan JBPM dirampas SPRM kerana pembekal dilapor memalsukan sijil ketulenan baju kalis api itu selain membekalkan pakaian berasaskan plastik.

Untuk rekod, antara balai bomba yang kekurangan baju kalis api dan menyebabkan anggota bomba terpaksa berkongsi sesama mereka berlaku di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah dan Chow Kit, Kuala Lumpur, Ipoh dan Tapah, Perak, Shah Alam, Selangor, Alor Setar, Kedah, Seremban 2, Negeri Sembilan serta Johor Bahru, Johor.

Bermula 15 Januari lalu Harian Metro mendedahkan penyelewengan dilakukan syarikat pembekal pakaian keselamatan kepada JBPM membabitkan 6,000 baju kalis api bernilai RM13.5 juta dibekalkan yang didapati tidak selamat.

Difahamkan, agensi itu membayar RM13.2 juta kepada syarikat pembekal.

Berita berkaitan:

  • Tender baru baju kalis api bomba dibuka
  • Ibarat bom jangka
  • 'Perisai' lusuh bakal berganti...
  • Siasatan penyelewengan baju bomba hampir selesai
  • 'Sekatan' ganti perisai lusuh
  • Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 7:34pm
    d