utama

Alhamdulillah, Aysar dah mula buka mata...

Oleh Redzuan Muharam

BAYI tujuh bulan, Aysar Nasri Muhammad Nassar yang menghidap penyakit hati kronik atau Biliary Atresia masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas menjalani pembedahan kedua di Max Super Speciality Hospital, New Delhi, India, semalam.

Bapanya, Muhammad Nassar Sanusi, 29 berkata, pembedahan susulan itu dijalankan bagi merawat komplikasi ‘Hepatic Vein Obstruction’ atau saluran membawa darah dari hati ke jantung yang tersumbat, malam kelmarin.

Berikutan itu, Muhammad Nassar berkata, Aysar perlu dipantau di ICU manakala dia kini sudah dipindahkan ke wad biasa.

“Terdapat dua saluran dan salah satunya tersumbat selain doktor cuba menggunakan jarum tetapi tidak berjaya.

“Maka, pembedahan kedua terpaksa dijalankan dan kini, Aysar berada di ICU untuk pemantauan.

“Mulanya, dia (Aysar) tidak sedarkan diri tetapi sudah mula membuka mata pagi tadi cuma belum boleh minum susu kerana banyak kahak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Nassar berkata, walaupun dia dan Aysar selamat menjalani pembedahan pemindahan hati selama 13 jam Sabtu lalu, belum ada jaminan daripada doktor mengatakan anaknya bebas daripada komplikasi.

“Memang lega selepas pembedahan tetapi saya dan keluarga sudah sedia maklum dengan risiko seperti mana dimaklumkan doktor sejak awal lagi.

“Apa yang penting, kami sekeluarga sudah berikhtiar dan selebihnya berserah kepada Allah SWT.

“Buat masa ini, saya dan Aysar perlu dipantau kerana baru saja menjalani pembedahan. Menurut jangkaan awal, kami akan pulang ke tanah air pada hujung bulan depan atau lebih lewat sekiranya kesihatan belum stabil sepenuhnya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Aysar Nasri yang menderita penyakit hati kronik dan keluarga itu memerlukan sokongan dana untuk membolehkan pemindahan hati dilakukan.

Muhammad Nassar nekad mendermakan hati buat bayinya dengan kos pembedahan RM120,000 yang sebahagian besarnya diperoleh hasil sumbangan orang ramai.

Berita berkaitan

Aysar selamat terima hati ayah

‘Aysar ok,positif’

Bersama-sama kita doakan mereka...

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 8:44pm
d