utama

'Kami ajak Azmin masuk UMNO'

Oleh Hairulazim Mahmud

“PADA pertemuan itu kami turut mengajak (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) masuk UMNO kerana terbukti ketika ini rakyat lebih percayakan UMNO dan Barisan Nasional (BN),” menurut tujuh Ahli Parlimen BN dalam kenyataan bersama malam ini.

Mereka ialah Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Datuk Salim Sharif (Jempol); Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Ahli Parlimen BN terbabit adalah antara yang hadir pada perjumpaan bersama Timbalan Presiden PKR di kediamannya di Putrajaya Isnin lalu.

Menurut kumpulan itu, Ahli Parlimen UMNO tidak pernah menyatakan hasrat atau merancang untuk melompat parti.

“Merujuk kepada laporan berita berkaitan sidang media Tun Dr Mahathir Mohamad petang tadi, kami nafi sekeras-kerasnya dakwaan kononnya pemimpin UMNO sudah hilang parti dan tidak tahu apa nak buat sama ada masuk parti lain atau tidak,” kata mereka.

Mereka berkata, pada pertemuan itu juga agenda perbincangan malam itu berkisar soal pembangunan di kawasan parlimen masing-masing termasuk pembinaan infrastruktur untuk kegunaan orang ramai seperti masjid, surau dan balai raya.

Pada malam berkenaan, politik negara digemparkan dengan pertemuan antara Mohamed Azmin dengan Ahli Parlimen BN.

Pelbagai spekulasi timbul berikutan pertemuan berkenaan antaranya ia adalah pakatan untuk menyelamatkan kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selain kononnya Mohamed Azmin sengaja mahu menunjukkan kekuatan kartel yang sedia berpakat dengan BN.

Berita berkaitan

'Saya tidak tahu menahu' - Anwar [METROTV]

'Itu meeting biasa' - Azmin

Majlis Presiden PH tak tahu - Dr Xavier

UMNO akan siasat!

'Saya tak tahu pun..' - Mujahid

Wan Azizah sindir Azmin

Saya tak tahu apa dibincangkan - PM

Azmin jumpa Ahli Parlimen BN

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 11:42pm
d