mutakhir

Dirancang Mossad, kata Jihad Islam Palestin

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PEMBUNUHAN pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma, 35, dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad, kata Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash.

Beliau yang mengeluarkan kenyataan itu berkata, dua suspek menaiki motosikal yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.

Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.

Malah, kebanyakan portal berita termasuk milik Israel seperti Haaretz, The Times Of Israel dan The Jerusalem Post turut menyiarkan kenyataan Khaled yang mendakwa dua lelaki berkenaan adalah ejen Mossad.

Khaled dalam kenyataan seperti dilaporkan Haaretz menyatakan Fadi adalah jurutera Palestin dan terbabit dalam pergerakan pejuang Hamas.

Katanya, Fadi pernah menetap di Jabalia, utara Semenanjung Gaza sebelum berhijrah ke Malaysia pada 2011 dan bekerja sebagai pensyarah di UniKL BMI.

“Pembunuhan Fadi yang juga jurutera Palestin adalah satu pembunuhan terancang oleh Mossad. Dia seorang pakar dalam bidang penggunaan tenaga dan sudah banyak menyumbang terhadap bidang kejuruteraan elektrik serta pengeluaran tenaga khususnya di Palestin.

“Kami percaya, kerana kepakaran dimiliki dan sumbangannya, dia menjadi sasaran pembunuhan ejen Mossad,” katanya yang turut memaklumkan pensyarah itu sepatutnya menghadiri persidangan sains berkaitan penggunaan tenaga di Turki, esok.

Sehubungan itu, Khaled turut berharap pihak berkuasa di Malaysia dapat mengesan dua suspek itu dan membuat siasatan menyeluruh bagi mengelak mereka melepaskan diri.

Menurut laporan itu lagi, pada Disember lalu, seorang jurutera penerbangan Palestin yang mahir dalam pembinaan dron, Mohammed Zawahri turut dibunuh ejen Mossad ketika berada di Sfax, Tunisia.

Sebelum dibunuh, Zawahri tinggal di beberapa negara, namun mempunyai hubungan rapat dengan pergerakan pejuang Hamas.

Berita berkaitan

‘Mungkin kebijaksanaan Fadi jadi ancaman’

Mufti doa Fadi dapat syahid

Ejen negara asing disyaki bunuh Fadi

‘Arwah biasa jadi imam’

Penembak tunggu 20 minit

Imam Palestin ditembak mati

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 8:08pm
d