mutakhir

[UPDATE] Seorang lagi suspek kes pukul direman

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

LELAKI yang juga seorang daripada suspek yang aksinya dirakam memukul dan membaling objek kepada seorang pekerja stesen minyak Petronas di Sungkai pada 6 Oktober lalu, direman selama tiga hari bermula hari ini.

Suspek berusia 25 tahun berpakaian kemeja putih dan seluar lokap berwarna ungu dibawa menaiki trak polis ke Mahkamah Majistret Tapah, 8.40 pagi.

Majistret, Mohd Harith Mohd Mazlan kemudiannya membenarkan suspek direman selama tiga hari sehingga Ahad ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Suspek yang juga peniaga berasal dari Cheras, Kuala Lumpur ditahan 4.25 petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bersama peguamnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman dalam kenyataannya hari ini memberitahu, seorang lagi suspek berusia 40 tahun juga sudah ditahan kelmarin dan direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek berusia 40 tahun yang direman itu turut mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang.

Katanya, lelaki itu adalah tangkapan pertama kes amukan kumpulan motosikal di Petronas Sungkai, yang disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Klip video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian pukul yang menjadi tular itu menunjukkan mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki termasuk yang memakai topi keledar dari dalam stesen berkenaan sebelum dipukul hingga terjatuh dan dibaling objek pada 12.45 tengah hari, pada hari kejadian.

Menurut laporan polis dibuat mangsa 24 tahun dan tinggal di Kampung Changkat Sulaiman, dekat sini, mendakwa, seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan mahu mengisi minyak di pam bernombor enam, namun tidak memaklumkan jenis minyak RON97 yang mahu diisi menyebabkan dia diberikan RON95.

Berdasarkan laporan itu, lelaki berkenaan tidak berpuas hati walaupun mangsa mendakwa sudah meminta maaf, namun tidak diendahkan lalu kumpulan lelaki berkenaan menarik mangsa keluar dan seorang daripada mereka memukul dan membaling air tin ke arah mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis mendakwa mengalami kesakitan di beberapa anggota badannya.

Berita berkaitan:

Suspek ada rekod jenayah lampau

Dua suspek pukul pekerja Petronas ditahan

[UPDATE] Polis cari dua lelaki ini

Mangsa belasahan trauma [METROTV]

Tersilap minyak punya pasal

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 1:42pm
d