mutakhir

Suspek kes tetak nak sambut Krismas

Oleh Hadzlihady Hassan

LELAKI warga Indonesia yang menetak mati wanita dalam stor penyimpanan makanan sejuk beku di kilang di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, dekat Georgetown, Rabu lalu sudah merancang mahu pulang ke negaranya bersama isteri untuk menyambut perayaan Krismas.

Malah, dia serta isterinya yang juga warga Indonesia dan bekerja di kilang di Petaling Jaya, Selangor sudah membeli tiket kapal terbang untuk pulang.

Bagaimanapun, lelaki terbabit dikatakan berang kerana majikannya enggan memberi wang gaji membuatkan dia mengamuk dengan menetak kepala serta muka adik perempuan majikannya itu.

Malah, siasatan polis mendapati suspek yang terlalu geram, menggunakan kapak untuk menetak kepala wanita terbabit dan juga parang ketika melibas anak lelaki dan anak saudara mangsa.

Menurut sumber, suspek bekerja sejak setahun lalu di kilang terbabit, manakala isterinya pula bekerja di kilang di Selangor dan mereka memang sudah merancang untuk pulang ke Indonesia minggu ini.

“Hasil daripada risikan dan juga beberapa maklumat yang diterima, kita berjaya menjejaki isteri suspek di pangsapuri di Petaling Jaya, Selangor.

“Kita juga mengesyaki suspek akan pergi bertemu isterinya dan ia ternyata benar apabila lelaki berkenaan berjaya ditemui dan ditahan berhampiran kolam renang di sana,” katanya.

Suspek yang berusia 31 tahun itu berjaya ditahan 3.30 pagi, Jumaat lalu oleh sepasukan polis membabitkan Bahagian Operasi Khas D8 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Pinang Pinang serta pasukan serbuan D9 Selangor dan Petaling Jaya.

Dalam kejadian 3.50 petang Rabu lalu, suspek yang bersenjatakan kapak mengamuk dan menetak tiga pekerja warga tempatan terdiri daripada seorang wanita berusia 44 tahun, anak lelakinya berusia 14 tahun dan anak saudaranya yang berusia 17 tahun.

Suspek yang dikatakan tidak berpuas hati berhubung soal pembayaran gaji itu tanpa belas kasihan menetak semua mangsa sebelum dia melarikan diri dengan menunggang motosikal Yamaha biru bernombor pendaftaran PBM 1524.

Tetakan menggila suspek itu membuatkan mangsa wanita, Sia Seok Kee meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berikutan parah di kepala, muka dan putus jari.

Berita berkaitan

[UPDATE] Suspek tetak dicekup [METROTV]

Polis buru suspek kes tetak

Mengamuk tetak sampai mati

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 4:01pm
d