mutakhir

Tunggu laporan JPN isu guru kemurungan

Oleh T.N. Alagesh dan Nik Sukry Ramli

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang menunggu laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengenalpasti jumlah guru yang mengalami masalah berjauhan daripada keluarga masing-masing.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, buat masa ini beliau belum menerima laporan lengkap berhubung perkara itu dan sedang menunggu pihak JPN menghantar laporan berkenaan.

“Setakat ini, saya belum terima lagi laporan dan kita (Kementerian Pendidikan) masih menunggu (laporan lengkap) mengenai isu dan jumlah guru yang berdepan situasi sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan mesra di pasar pagi Kuala Medang, dekat Lipis, hari ini.

Mengulas mengenai insiden seorang ustazah yang hilang selama empat hari, sejak Isnin lalu, sebelum ditemui di Kuala Kangsar, Perak, petang semalam, Maszlee berkata, pihaknya masih menunggu laporan berhubung kejadian itu daripada JPN Pulau Pinang.

Media sebelum ini melaporkan kehilangan Nur Farhana Ibrahim, 27, yang disedari suaminya selepas ustazah itu tidak pulang ke rumah mereka di Langgar, Kedah pada petang Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, SuperintendAn A Anbalagan dipetik berkata, suami mangsa memaklumkan isterinya itu pernah menerima rawatan kemurungan pada 2014 dipercayai berpunca daripada terpaksa berulang alik setiap hari dari Langgar (Alor Setar) ke Balik Pulau (Pulau Pinang) untuk mengajar di sekolah berkenaan.

Jarak sehala Langgar ke Balik Pulau ialah kira-kira 100 kilometer dan difahamkan ustazah itu sudah beberapa kali memohon untuk berpindah ke Kedah supaya lebih dekat dengan keluarganya.

Berita berkaitan

'Terima kasih rakyat Malaysia'

[UPDATE] Harap Nur Farhana ditukarkan sekolah

Ustazah Nur Farhana ditemui di luar Pulau Pinang

'Alhamdulillah, Ustazah Nur Farhana ditemui selamat'

Guna K9 cari Ustazah Nur Farhana

'Di mana Ustazah Nur Farhana?'

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 12:31pm
d