mutakhir

Kes anak Mat Sabu dirujuk kepada TPR

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS akan menyerahkan kertas siasatan kes membabitkan anak lelaki Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (Mat Sabu) kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sudah mengambil dan merakam keterangan daripada semua pihak.

“Siasatan kami sudah selesai dan kini menunggu pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu pada 5 Januari lalu, lelaki berusia 31 tahun yang juga anak kepada Menteri Pertahanan ditahan positif ganja di pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan seorang lelaki warga Ireland yang dilaporkan hilang pada 29 Disember lalu.

Menurutnya, lelaki dikenali sebagai Stephen Warde, 32, itu kali terakhir dilihat berada di Mercu Summer Suite di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 28 Disember lalu.

“Beliau masuk ke Malaysia pada 15 November 2018 seorang diri dan setakat hari ini beliau masih belum ditemui.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dilakukan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Pusat Kawalan Daerah Dang wangi 03-26977099.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Stephen dilaporkan hilang di Malaysia selepas anggota keluarganya gagal menghubunginya sejak tiga minggu lalu.

Berita berkaitan

'Kes anak Mat Sabu: Polis mohon cepatkan ujian air kencing'

'Tiada kenyataan tambahan'

'[UPDATE] Anak menteri dibebaskan'

'Biar polis siasat - Mat Sabu'

'Anak menteri 'kantoi' ganja'

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 6:10pm
d