mutakhir

Bilik gerakan SAR warga Pakistan ditutup

Oleh Rosli Ilham

BILIK gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Pakistan, Muhammad Bilal Muhammad Akram, 24, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Petak, Paka, Dungun, ditutup pada 7 malam ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, operasi pencarian mangsa akan diteruskan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka, Balai Polis Paka serta dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kami hanya menutup bilik gerakan, namun tetap meneruskan operasi pencarian dengan meminimumkan anggota terbabit.

“Operasi pencarian tetap diteruskan melalui kaedah pencarian di pesisir pantai sehingga mangsa ditemui.

“Kami sudah memanggil waris serta rakan mangsa (Muhammad Bilal) dan hasil perbincangan, mereka bersetuju dengan keputusan diambil,” katanya.

Sementara itu, sepupu mangsa, Muhammad Mubashar, 24, berkata, dia menghargai jasa dan pengorbanan pasukan SAR yang bertungkus-lumus mencari sepupunya itu.

“Saya sangat kagum dengan kerjasama semua pihak berkuasa termasuk penduduk kampung yang bertungkus-lumus selama tiga hari mencari Muhammad Bilal.

“Kalau di tempat kami, operasi pencarian sebegini hanya mengambil masa selama sehari sahaja tidak kira sama ada mangsa ditemui atau tidak,” katanya.

Dia yang mewakili keluarga mangsa di Lahore, Pakistan berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Paka yang menyediakan makan dan minum sepanjang operasi pencarian.

“Tiada apa yang boleh saya katakan. Hanya Allah SWT yang mampu membalas segala jasa baik semua pihak.

“Saya sangat hargai dan berterima kasih atas usaha semua pihak. Biar pun bilik gerakan ini ditutup, pihak berkuasa masih meneruskan pencarian sehingga sepupu saya ditemui.

“Selagi sepupu tidak ditemui, hati saya tidak tenang dan tidak dapat melelapkan mata kerana merinduinya,” katanya.

Berita berkaitan

'Abang Pakistan 'turun' cari rakan lemas'

'[UPDATE] Takut nak beritahu sepupu lemas'

'[UPDATE] 'Dah capai tangan tapi terlepas...''

'Abang Pakistan lesap ‘disapu' ombak'

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 11:10pm
d