mutakhir

Pencemaran gas metana: JAS teliti rakaman CCTV

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, akan diteliti bagi mengesan individu yang membuang sisa kimia di sungai itu, kelmarin.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Muhammad Ezani Mat Salleh berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis untuk melihat semula semua rakaman CCTV di kawasan berkenaan bagi mengesan setiap lori yang melalui kawasan itu.

Menurutnya, ada beberapa CCTV diletakkan di kawasan itu, ia termasuk CCTV berdekatan lampu isyarat di sepanjang jalan.

“Kami bekerjasama dengan polis untuk mengesan kenderaan syarikat dan individu, terutama lori yang melalui kawasan itu antara 11 malam, Rabu lalu.

“Kita cuba kesan lori yang melalui kawasan itu dan akan berusaha mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab (membuang sisa kimia) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sesi taklimat sempena lawatan rasmi Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Isnaraissah Munirah Majilis berhubung tumpahan bahan kimia itu di Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang, hari ini.

Muhammad Ezani berkata, pihaknya juga akan menyiasat satu persatu kilang di sekitar kawasan itu bagi mengesan dalang kejadian, termasuk melalui kaedah imbasan cap jari terhadap individu yang berkaitan.

“Minyak hitam yang terlalu pekat ini biasanya daripada kapal, tetapi kita sasarkan kilang berhampiran sebagai ‘suspek’. Antara kapal dan industri ini, kita akan ambil tindakan berdasarkan siasatan.

“Ini bukan kali pertama pembuangan bahan kimia berlaku, sebelum ini ia berlaku di laut dan pantai, cuma ini kali pertama (pembuangan sisa kimia) membabitkan sungai,” katanya yang masih menunggu laporan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) bagi mengesan kapal berlabuh di pelabuhan berhampiran untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja pembersihan di sungai yang tercemar sudah dijalankan dan kualiti udara kembali stabil.

“Ketika kerja pembersihan dijalankan, kemungkinan kualiti udara akan terjejas semula dan tidak stabil.

“Ini kerana, apabila kita mengorek sisa (bahan kimia) di dalam sungai, proses pengewapan akan berlaku dan ada gas serta bau akan terlepas,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Ezani berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan, kira-kira 40 tan sisa kimia dibuang ke sungai berkenaan.

“Kos pelupusan sisa kimia agak tinggi, bergantung pada keadaan. Ada (nilai pelupusan) yang mencecah RM2,000 per tan.

“Itu mungkin punca pihak (yang bertanggungjawab) terbabit mengambil jalan mudah membuang sisa kimia berkenaan ke sungai,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Polis terima 5 laporan buang sisa kimia

[UPDATE] Sungai Kim Kim akan dibersihkan

Pembuangan sisa bahan kimia Sungai Kim Kim: 79 dirawat

Sisa minyak cuci kapal

Pekerja kolam pula pengsan

Gas metana: Enam mangsa di ICU

Tekak loya, muntah akibat keracunan gas

Mangsa hidu gas metana stabil

Permaisuri lawat mangsa terhidu gas

Pencemaran gas: Sekolah tutup tiga hari

[UPDATE] 26 masih dirawat, 3 daripadanya di ICU

'Oil boom' halang gas metana merebak

[UPDATE] 8 kritikal terhidu gas metana

Gas kimia: 1,400 pelajar diminta kosongkan sekolah

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 7:45pm
d