mutakhir

Polis nasihat Dr MAZA berjaga-jaga

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS menasihatkan agar Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin lebih berjaga-jaga dalam situasi semasa berikutan kedua suspek yang terbabit dalam kejadian bakar kereta rasminya kelmarin masih belum diberkas.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, meskipun pihaknya sudah mengerahkan pegawai dan anggotanya untuk mengawal keselamatan Mohd Asri bersama ahli keluarganya, namun ia bukanlah jaminan sepenuhnya ke atas beliau.

Katanya, polis sedaya upaya memburu kedua suspek berkenaan dan yakin mereka akan diberkas tidak lama lagi.

“Saya bukan berniat hendak takutkan dia (Mohd Asri), tapi ini adalah realitinya memandangkan situasi sekarang yang dilihat sedikit tegang dalam sehari dua ini.

“Ditambah pula semalam dia sendiri mengesyaki kejadian yang menimpa ke atas dirinya adalah perbuatan pengganas dan pihak polis tidak boleh memandang ringan akan dakwaan itu meskipun motif kejadian lebih terjurus kepada unsur khianat dan dendam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Semalam, Mohd Asri mendakwa kejadian kereta rasmi kegunaannya dibakar di kediaman rasminya pada awal pagi kelmarin adalah satu aktiviti keganasan.

Bagaimanapun, Noor Mushar ketika dihubungi semalam menyangkal dakwaan itu kerana siasatan pihaknya lebih menjurus ke arah perbuatan khianat oleh pihak tertentu.

Mengulas lanjut berhubung dua suspek yang sedang diburu, Noor Mushar berkata mereka adalah warga tempatan.

“Kita sudah mengenal pasti kedua suspek berkenaan. Insyaallah, kita yakin mereka akan diberkas dalam masa terdekat,” katanya.

Untuk rekod, kejadian jenayah berbaur ugutan dan ancaman yang membabitkan golongan agamawan di Perlis adalah kali kedua terjadi sejak tahun lalu.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan parah di muka pada awal September lalu selepas dia diserang oleh penjenayah dengan menggunakan senjata tajam dipercayai pedang samurai yang memecah masuk rumahnya.

Berita berkaitan:

  • 2 lelaki diburu
  • 'Bersangka baik sahaja'
  • Kereta Dr MAZA dibakar, cermin dipecahkan
  • Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 6:18pm
    d