mutakhir

[UPDATE] 'Tiada petunjuk baru' - Polis

Oleh BERNAMA

POLIS masih tidak menemui petunjuk baru mengenai kes kehilangan kanak-kanak Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, di Bandar Seri Putra, Bangi, sejak Isnin minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya masih giat menjalankan operasi pencarian kanak-kanak itu.

Beliau berkata, Jumaat lalu pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia melakukan operasi pencarian di Sungai Semenyih, kira-kira 300 meter dari kawasan kanak-kanak itu dilaporkan hilang tetapi tidak menemui apa-apa.

“Usaha pencarian kini lebih tertumpu rumah ke rumah selain mengharapkan bantuan daerah lain serta maklumat orang ramai untuk mengesan kanak-kanak ini,” katanya.

Sementara itu bapa Muhammad Zahiruddin, Mohd Fauzi Abdul Ghafar, 45, berkata, pelbagai ikhtiar sudah dilakukan pihaknya supaya anaknya segera ditemui.

“Solat hajat juga saya lakukan sebagai ikhtiar supaya anak saya ditemui selain mengharapkan maklumat daripada polis,” katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, Saniah Sunding, 46, mengharapkan pihak yang menemui anaknya mengembalikannya dalam keadaan selamat.

“Saya mengharapkan dia pulang kepada kami dalam keadaan selamat,” katanya yang mengambil cuti sejak kes kehilangan anaknya dilaporkan.

Muhammad Zahiruddin dikatakan keluar dari rumahnya 8 pagi untuk bermain bersama rakan sebelum dilaporkan hilang.

Berita berkaitan

Polis cari Zahir di sekitar rumahnya

[UPDATE] Zahir dilihat di Darus Syifa, Bangi?

[UPDATE] Operasi jejak Zahir ditangguh [METROTV]

Zahir di Bandar Tasik Selatan?

Zahir di mana?

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 10:16pm
d