mutakhir

[UPDATE] 'Berdoa ada khabar gembira'

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

OPERASI pencarian Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8 diharap diteruskan walaupun kehilangan kanak-kanak itu di Bangi sudah memasuki hari ke-12.

Ibunya, Sainih Sunding, 46, berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat terkini membabitkan kehilangan anaknya.

Katanya, dia dan keluarga masih menunggu perkembangan baru termasuk berita gembira Muhammad Zahiruddin atau lebih mesra dipanggil Zahir ditemui dalam keadaan selamat.

“Pada masa sama, saya dan keluarga turut membantu polis mengesan Zahir di sekitar kediaman (Bangi).

“Kami tidak akan berputus asa, bila tidak mencari Zahir, saya dan keluarga ke masjid mencari ketenangan selain berdoa Zahir ditemui selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sainih berkata, dia menafikan laporan kononnya Zahir dibawa lari beberapa individu ke Klang, Shah Alam dan Kajang seperti didakwa segelintir pengguna media sosial.

“Saya sudah periksa dengan polis, tiada bukti anak dibawa lari ke kawasan berkenaan.

“Kami sekeluarga berharap orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai isu ini, sebaliknya terus tampil di balai polis jika ada maklumat berkaitan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kanak-kanak itu disedari hilang oleh ibunya sebaik tiba di rumah selepas pulang dari tempat kerja 7 malam 15 April lalu.

Bapa mangsa, Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, 45, melaporkan kehilangan anak lelakinya itu di Balai Polis Bangi sebelum kejadian itu dihebahkan melalui Nur Alert.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Tiada petunjuk baru' - Polis

Polis cari Zahir di sekitar rumahnya

[UPDATE] Zahir dilihat di Darus Syifa, Bangi?

[UPDATE] Operasi jejak Zahir ditangguh [METROTV]

Zahir di Bandar Tasik Selatan?

Zahir di mana?

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 4:26pm
d