mutakhir

Tukang paip ditembak polis dibedah lagi

Oleh Noorazura Abdul Rahman

TUKANG paip yang cedera di lengan kiri akibat ditembak anggota polis trafik Rabu lalu menjalani pembedahan kedua bagi membuang serpihan tulang, kelmarin.

Abang mangsa, Faisal Hafiz Anuar, 28, berkata, adiknya Mohamad Alif Aiman,21, dibawa masuk ke Dewan Bedah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pada 2.05 petang dan dibawa keluar dewan bedah kira-kira 9.30 malam.

Katanya, pembedahan kali kedua itu membuatkan Mohamad Alif Aiman atau mesra dipanggil Alif sering mengadu sakit.

“Selepas dibawa ke wad, dia meronta kesakitan, Alif sambil teriak bertanya kepada saya, ada lagikah pembedahan selepas ini.. saya hanya diam.. dia kelihatan menanggung kesakitan yang teramat sangat berbanding pembedahan pertama sebelum ini.

“Terbaru doktor maklumkan selain tulang hancur ada bahagian yang terkena peluru, tulang tangan kiri adik saya juga retak sehingga ke bahagian tapak tangan seperti lemang yang dipecahkan bahagian atas dan retak di bawah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Faisal turut difahamkan bahawa tidak semua serpihan tulang dapat dikeluarkan kerana bimbang akan menyebabkan gangguan saraf lain.

Katanya, dia kini mengharapkan emosi adiknya stabil untuk melawan kesakitan dan keadaan yang sedang dihadapinya.

“Doktor sekarang masukkan antibiotik untuk memastikan keadaan tangan Alif stabil selain tidak mahu berlakunya jangkitan kuman.

“Setakat ini, doktor belum jelaskan sama ada Alif perlu menjalani pembedahan lain selepas ini, sebagai abang saya hanya mampu memberikan kata semangat untuk Alif dan mahu melihat dia sihat seperti sedia kala,” katanya yang juga anak sulung daripada lima beradik.

Rabu lalu, dalam kejadian kira-kira 10 pagi, seorang lelaki ditembak di lengan kiri oleh anggota polis trafik ketika cuba memberhentikan motosikal dinaiki mangsa dan rakannya di Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar.

Ketika kejadian, Alif yang berasal dari Kuala Kedah sedang membonceng motosikal ditunggangi rakannya untuk ke tempat kerja mereka di Alor Mengkudu.

Berita berkaitan

Keluarga pertimbang saman polis trafik

Tukang paip selamat dibedah

Tukang paip cedera terkena tembakan polis

Polis trafik ditukar ke bahagian pengurusan

Polis trafik nak tembak tayar sebenarnya...

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 8:28am
d