mutakhir

MILF dah jamin keselamatan Muslim Care

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PEMIMPIN kanan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mendakwa kebenaran tidak diberikan kepada Muslim Care Malaysia (Muslim Care) ke Pulau Basilan bukan sebab isu keselamatan semata-mata.

Dakwaan isu keselamatan hanya untuk menghalang usaha menyalurkan bantuan kepada komuniti Islam di pulau itu.

Menerusi surat dikirimkan pemimpin kanan MILF yang memaklumkan, karenah birokrasi sengaja diwujudkan agar usaha Muslim Care menyantuni komuniti Islam digagalkan.

Katanya, MILF sudah memberi jaminan keselamatan sepenuhnya kepada sukarelawan sepanjang berada di Pulau Basilan.

“Alasan keselamatan hanya untuk menindakkan bantuan luar disampaikan kepada komuniti Islam yang masih memerlukan pertolongan pihak luar.

“Ini cara halus untuk menafikan kuasa autonomi yang diberikan kepada MILF dan melemahkan kami,” katanya menerusi surat yang ditulis dalam Bahasa Arab.

Sementara itu, Presiden Muslim Care, Zulkifli Wajihan berkata, halangan untuk masuk ke kawasan misi bukan sesuatu yang asing bagi mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan.

Katanya, keputusan kerajaan Filipina enggan membenarkan bantuan Muslim Care masuk ke Pulau Basilan sesekali tidak melemahkan semangat.

“Muslim Care akan pastikan bantuan yang dibawa dapat disalurkan sepenuhnya kepada komuniti Islam selain memastikan tahfiz dibina sepenuhnya.

“Kami yakin hasrat untuk menghulurkan bantuan akan dipermudahkan dan usaha membangunkan komuniti Islam direalisasikan,” katanya.

Zulkifli berkata, sukarelawan Muslim Care akan menyantuni komuniti Islam di Kampung Malandih yang terletak 28 kilometer dari Zamboanga.

Tambahnya, bantuan seperti makanan, pakaian dan pemeriksaan kesihatan akan dijalankan kepada penduduk kampung.

Berita berkaitan:

  • Bahaya dalam tenang
  • Muslim Care dilarang ke Pulau Basilan
  • Muslim Care masih teruskan rundingan
  • Diarah meninggalkan Pulau Basilan
  • Pemeriksaan ketat jamin keselamatan
  • Santuni masyarakat Islam Pulau Basilan
  • Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 9:46am
    d