mutakhir

Bom air bantu kurangkan kebakaran

Oleh Nor Farhani Che Ad

KEBAKARAN di tapak pelupusan sampah di Semeling, Sungai Petani semakin berkurangan selepas 17 bom air dilepaskan dalam operasi semalam.

Tapak berkeluasan 1.2 hektar itu dikesan terbakar sejak 20 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pemadaman menerusi udara itu dilakukan Unit Udara JBPM.

“Sebanyak 11 bom air dilepaskan pada pagi dan selebihnya pada petang menerusi unit udara.

“Manakala operasi pemadaman di darat dibahagikan kepada empat sektor iaitu tiga sektor menggunakan sumber air 'hydrosub' dan satu sektor daripada 'water tanker',” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejumlah 53 anggota terbabit operasi pemadaman di darat dan masing-masing dari 17 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) termasuk BBP Pengkalan Hulu, Perak dan BBP Perda, Pulau Pinang.

Katanya, kebakaran didapati berkurangan sekitar 6 petang semalam dan tiada 'spot' kebakaran yang baru dikesan.

“Untuk hari ini operasi diteruskan yang diketuai Penguasa Kanan Bomba (PgKB) II Mohd Firdaus Daud di tiga sektor.

“Agensi lain yang membantu Jabatan Alam Sekitar, Tenaga Nasional Berhad, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Sudah tujuh hari padam api
  • Nak cari tembaga punya pasal
  • Bara api bawah timbunan sampah
  • Asap tebal ganggu rutin penduduk
  • Jangan cepat panik - Kok Yew
  • Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 4:11pm
    d