utama

Nur Ghaziyah hilang ingatan

Oleh Adnan Ibrahim

KANAK-kanak yang menjadi satu-satunya yang terselamat dalam kemalangan yang meragut nyawa ibu bapa dan tiga adik beradiknya, kini berdepan masa depan suram apabila hanya mampu terbaring akibat kecederaan yang dialaminya.

Nur Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, 4, berdepan dengan masalah hilang ingatan dan tidak mampu bersuara, selain terpaksa bergantung kepada susu khas yang disalurkan melalui hidungnya.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang pada 12 Disember lalu, ibu bapanya, Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain dan Zinnirah Abdul Hamid, 28, serta tiga adik beradik Nur Ghaziyah, Nur Magfirah, 6, Muhammad Abu Ajwad, 4, dan Nur Alia Humairah, tiga bulan, meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta dinaiki mereka bertembung sebuah bas di Kilometer 176 persimpangan Kampung Melayu Raya, Segamat.

"Tolonglah, saya merayu kepada mereka yang sudi supaya menghulurkan bantuan bagi merawat cucu saya ini yang kini hanya terlantar di katil akibat kemalangan itu," kata Zaitun Othman, 50, nenek kepada kanak-kanak itu.

Zaitun berkata, suaminya Dzulkarnain Yusoh, 55, hanya menjual kebab di pasar malam menyebabkan mereka kesempitan wang untuk memberikan rawatan terbaik kepada Nur Ghaziyah Athirah.

Katanya, walaupun terselamat, cucunya kini tidak boleh berjalan kerana patah kedua-dua kaki serta tulang pinggul, manakala otaknya mengalami gegaran dan pendarahan menyebabkannya hanya mampu terbaring.

“Dia kini berdepan masalah hilang ingatan serta tidak boleh bersuara walaupun ketika menangis, lebih menyedihkan Nur Ghaziyah Athirah tidak mampu menelan makanan menyebabkan kami terpaksa menggunakan susu khas yang dimasukkan melalui tiub untuk membantu pembesarannya.

“Bagi mengubatinya, kami perlu membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, tiga kali sebulan dan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang di sini, dua kali sebulan," katanya.

Menurutnya, walaupun sedar keperluan Nur Ghaziyah agak tinggi hingga mencecah RM700 sebulan termasuk untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang, mereka cekalkan hati untuk membela cucunya itu dan terpaksa berjimat cermat.

Bagaimanapun, katanya, mereka juga perlu menyediakan perbelanjaan anak yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Berikutan itu, saya merayu orang ramai menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan harian Nur Ghaziyah sehinggalah dia pulih sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, bagi mereka yang mahu membantu boleh menghubunginya di nombor 011-11984344 atau datang terus ke rumah mereka di Taman Makmur di sini.

Berita berkaitan

Lima sekeluarga ajal bersama

Ya Allah, ampunilah, rahmatilah mereka...

Dapat tahu kehilangan adik melalui FB

[UPDATE] Doakan adik Nur Ghaziyah Athirah

Doakan Nur Ghaziyah Athirah cepat sembuh

'Aku takut tak sempat didik anak...'

Semoga Nur Ghaziyah cepat pulih

Nur Ghaziyah Athirah kritikal

Disiarkan pada: February 13, 2018 @ 1:11pm
d