utama

Ibu kelar anak didakwa [METROTV]

Oleh Amin Ridzuan Ishak

SURI rumah didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh atas tuduhan membunuh anaknya berusia 19 bulan di FELDA Jengka 13, Maran, Ahad lalu.

Asmani Mat, 31, hanya mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Ti Pei Si.

Tiada sebarang rekod dicatatkan daripada tertuduh.

Asmani dituduh membunuh anak lelakinya, Muhammad Nur Rashdan Muhammad Rizal di kediaman mereka di FELDA Jengka 13, Bandar Pusat Jengka, Maran, Ahad lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di antara 8.30 malam sehingga 9 malam.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustafa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, Pei Si membenarkan permohonan Siti Hajar supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bahru, Johor selama satu bulan bagi tujuan pemantauan berikutan wanita itu dilihat mempunyai masalah mental seperti tidak fokus.

Pei Si turut menetapkan 20 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, suami tertuduh, Muhammad Rizal Jusoh, 42, yang hadir bersama beberapa ahli keluarganya sempat menemui isterinya dan menenangkannya sebelum prosiding bermula.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Muhammad Nur Rashdan maut selepas dikelar ibu kandungnya yang dikatakan tidak sedar dengan tindakannya itu.

Berita berkaitan:

Budak maut dikelar ibu

Suspek dipercayai mengalami halusinasi

JKM sedia beri kaunseling

'Saya maafkan isteri'

Terkejut tapi reda

Terkejut tapi reda

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 11:17am
d