mutakhir

'Terima kasih uncle Azra' [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

“TERIMA kasih uncle (pak cik) Azra,” itu luahan kelegaan Yusuf Islam Abdul Halik antara 47 rakyat Malaysia yang kini ditahan di penjara Wilayah Banteay Mancheay, Kemboja, ketika bertemu dengan individu yang dikenali sebagai Mohd Azra.

Mohd Azra adalah kenalan rapat keluarga Yusuf, 21, yang berusaha mencari rakyat Malaysia yang kini masih mengenang nasib untuk dibebaskan dari penjara ketika maklumat mengenai penahanan mereka masih samar.

Ibu Yusuf, Zunita Sedini, 42, berkata, Mohd Azra berusia lingkungan 40-an adalah individu yang sudi membantu mencari anaknya sebaik menerima maklumat mengenai penahanan mereka di penjara pada Disember lalu.

Menurutnya, lelaki terbabit bersendirian ke Kemboja untuk mencari anaknya Januari lalu atas dasar persahabatan yang dibina sejak belasan tahun lalu.

Katanya, beliau memaklumkan penahanan Yusuf kepada Mohd Azra sebaik mendapat panggilan telefon dari anak sulungnya itu dan lelaki terbabit berjanji akan membantu untuk mencari anaknya.

“Selepas terbang ke Kemboja kali ketiga, Mohd Azra akhirnya dapat bertemu dengan Yusuf dan tahanan lain di penjara berkenaan bersama pegawai kedutaan Malaysia di Kemboja selepas usaha mencarinya sebelum ini gagal kerana kekurangan maklumat selain keengganan pihak berkuasa negara berkenaan memberi kebenaran.

“Ketika di penjara, saya berpeluang berkomunikasi dengan Yusuf menerusi panggilan video. Hanya Allah yang tahu betapa leganya saya melihat Yusuf walaupun bersedih dengan kejadian yang menimpanya.

“Yusuf dan tahanan lain juga gembira bertemu dengan Mohd Azra dan mereka berterima kasih kerana datang membantu selain dapat menyampaikan berita kepada keluarga di Malaysia,” katanya ketika ditemui dalam sidang media, di Kuching hari ini.

Sidang media berkenaan juga dihadiri beberapa ahli keluarga tahanan lain yang turut berharap ada sinar untuk semua mangsa dibebaskan secepat mungkin.

Zunita berkata, sepanjang penahanan, Yusuf dan mangsa lain berada dalam keadaan selamat walaupun terhad dari segi makanan kerana bimbang hidangan yang diberikan tidak halal.

Katanya, hari ini, Mohd Azra terbang ke Kemboja untuk kali keenam dan membawa makanan untuk diberikan kepada Yusuf serta tahanan lain.

“Saya berterima kasih kepada (Mohd) Azra dan kerajaan kerana membantu membawa perkhabaran yang positif ketika kami masih tidak mengetahui nasib yang menimpa mereka (Yusuf dan rakyat Malaysia lain).

“Terima kasih kepada semua yang terbabit khususnya media dan rakyat Malaysia yang tidak berhenti memberi sokongan dan doa untuk kami mengharungi saat getir ini. Saya juga berharap mereka dapat dibebaskan secepat mungkin,” katanya.

Khamis lalu, Malaysia dikejutkan dengan penahanan 47 rakyat negara ini di sebuah penjara di Wilayah Banteay Mancheay, 446 kilometer ke utara Phnom Penh kira-kira sembilan jam perjalanan dari ibu negara berkenaan.

Mereka yang berusia antara 19 hingga 44 tahun ditawarkan gaji lumayan oleh sebuah agensi pekerjaan untuk bekerja sebagai jurujual barangan elektronik dengan bayaran mencecah ratusan Dollar Amerika sehari.

Sehingga kini, penahanan rakyat Malaysia masih samar kerana tiada pendakwaan dibuat walaupun dikatakan terbabit dengan sindiket perjudian dalam talian.

Kini Wisma Putra sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan negara berkenaan untuk membebaskan mereka.

Berita berkaitan:

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 2:27pm
d