mutakhir

Nasi berkuah air sejuk jadi santapan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

HANYA nasi berkuah air sejuk menjadi menu dijamah sebahagian besar rakyat Malaysia yang kini ditahan di penjara di Poipet dalam wilayah Banteay Mancheay, Kemboja sejak Disember lalu.

Perkara itu didedahkan ibu kepada Yusuf Islam Abdul Halik, 21, yang menjadi seorang daripada 47 tahanan di negara berkenaan.

Zunita Sedini, 42, berkata, anak sulungnya memaklumkan perkara itu ketika berkomunikasi dengannya menerusi panggilan telefon baru-baru ini.

Walaupun sayu mendengar rintihan itu, Zunita tetap memberikan kata semangat kepada Yusuf dan tahanan lain agar terus bertahan sementara urusan pembebasan mereka dilakukan kerajaan Malaysia.

“Yusuf memaklumkan dia dan rakan lain hanya makan nasi berkuah air sejuk kerana khuatir makanan yang dihidangkan di penjara tidak halal.

“Sedih mendengar keluhan mereka, namun saya tetap meniupkan kata semangat agar terus bersabar kerana usaha membebaskan mereka giat dilakukan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata, rakannya yang dikenali sebagai Mohd Azra, 40-an, kini sudah tiba di Kemboja bersama pelbagai bekalan makanan untuk diberikan kepada Yusuf dan tahanan lain.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya pada 8 Februari lalu dan dia dimaklumkan semua yang ditahan dalam keadaan baik walaupun masih menanti sebarang keputusan lanjut berhubung penahanan mereka.

“Saya berpesan supaya mereka terus positif kerana bantuan (untuk membebaskan mereka) kini sedang diusahakan,” katanya.

Sementara itu, ibu seorang lagi tahanan yakin anaknya meringkuk dalam penjara kerana termakan dengan kata manis ‘agensi pekerjaan’ yang menjanjikan pendapatan lumayan.

Marsita Mohamad, 48, ibu kepada Nor Ridwana Syahzani Hamddie, 21, tetap optimis anaknya tidak bersalah dan tidak melakukan apa saja yang melanggar undang-undang negara berkenaan.

“Saya menerima berita mengenai penahanan Nor Ridwana selepas dihubungi Wisma Putra pada penghujung Januari lalu.

“Walaupun terkejut dengan berita ini tapi saya berharap kerajaan Malaysia dapat menyelesaikan kemelut ini segera dan semua tahanan dibebaskan dalam keadaan selamat,” katanya.

Malaysia digemparkan dengan penahanan 47 rakyat negara ini selepas didakwa terbabit dengan aktiviti judi atas talian.

Mereka dijanjikan gaji dalam Dolar Amerika dengan hanya menjadi ‘promoter’ jenama barang elektronik terkemuka untuk tempoh tiga bulan.

Wisma Putra kini sudah menghantar pasukan rundingan untuk memastikan pembebasan rakyat yang ditahan dilakukan secepat mungkin jika terbukti tiada pembabitan dalam pelanggaran undang-undang negara berkenaan.

Berita berkaitan:

Kunjungan bawa harapan tinggi

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 11:01am
d