mutakhir

[UPDATE] NGO bantu rakyat Malaysia di Kemboja

Oleh BERNAMA

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) antarabangsa sudah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Kemboja bagi membantu 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara di Poi Pet, 446 kilometer dari utara Phnom Penh.

Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan hari ini bertujuan memohon bantuan penyelesaian terhadap nasib yang menimpa semua tahanan itu.

Menerusi perbincangan itu beliau berkata, Othsman bersetuju untuk membawa perkara berkenaan kepada Perdana Menteri Hun Sen dalam masa terdekat selain membolehkan Mustapha melawat mereka yang ditahan.

“Mereka yang ditahan ini mungkin dijanjikan pendapatan lumayan apatah lagi Kemboja menggunakan dollar Amerika.

“Mereka dijanjikan pekerjaan yang baik tetapi apabila sampai ke Kemboja, secara berperingkat mereka dipaksa kerja di kasino dan tempat judi haram,” katanya.

Menurut Mustapha, beliau memaklumkan kepada Othsman bahawa kebanyakan mereka yang ditahan adalah daripada keluarga miskin dan mereka ditipu sindiket tertentu.

Khamis lalu, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu di Poi Pet sejak 11 Disember lalu.

Menurut Wisma Putra, mereka ditahan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Berita berkaitan:

Kunjungan bawa harapan tinggi

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 11:46pm
d