mutakhir

Kes Aleya: Polis jumpa dua gigi, gumpalan rambut [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

DUA gigi dan dua gumpalan rambut antara penemuan terbaru pada hari kedua pencarian mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, di gaung Jalan Gunung Raya, di Langkawi, hari ini.

Penemuan bukti baru itu ditemui dengan bantuan anjing jenis German Shepherd dari Unit Anjing Pengesan K-9 dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, operasi pencarian bermula 9 pagi tadi membabitkan 31 anggota termasuk polis dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi.

Menurutnya, penemuan dua gigi dan gumpalan rambut itu dipercayai milik kanak-kanak terbabit dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

“Gigi dan gumpalan rambut itu ditemui pada 11 pagi tadi selepas dua jam operasi dilakukan di kawasan berhampiran tengkorak dan cebisan rambut semalam.

“Radius pencarian cebisan mayat mangsa dilakukan pada jarak 500 meter dan anggota polis serta bomba turun ke cerunan akhir hingga ke kawasan landai yang mempunyai anak sungai kering,” katanya pada sidang media di lokasi penemuan rangka mayat mangsa di Gunung Raya, Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, jarak kedalaman gaung dari atas ke bawah adalah pada kira-kira 200 meter.

Beliau berkata, di kawasan hutan ini terdapat banyak binatang liar, biawak dan mungkin cebisan anggota badan mangsa sudah dibawa lari jauh.

“Disebabkan itu kita melepaskan anjing pengesan dan hasil daripadanya kita menemui barang bukti milik mangsa di kawasan pencarian.

“Sekiranya radius pencarian dibesarkan lagi, ia akan mengambil masa yang lama, namun penemuan bukti ini sudah cukup untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, gigi gumpalan rambut yang ditemui hari ini akan dibawa bersama tengkorak untuk proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) esok.

Beliau berkata, setakat ini ibu kandung mangsa hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk memberi keterangan dan semuanya sama seperti yang dimaklumkan melalui media.

“Kita akan memanggil kakitangan Hospital Langkawi untuk membantu siasatan dan setakat ini kita sudah mengambil keterangan dari lapan orang saksi untuk membantu siasatan.

“Berkemungkinan besar bilangan saksi akan bertambah bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, setakat ini ibu mangsa dan suspek suami isteri itu sudah mengambil sampel darah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pasangan itu direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Operasi ini berakhir 1 tengah hari tadi dan berkemungkinan akan dilakukan semula jika ada keperluan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kanak-kanak berusia tiga tahun, Nur Aisyah Aleya Abdullah dilaporkan hilang ketika di bawah jagaan pengasuhnya di Kuarters Hospital Langkawi.

Bagaimanapun, polis menemui tengkorak dan cebisan rambut kanak-kanak terbabit di kawasan gaung di Jalan Gunung Raya 11.30 semalam selepas suspek suami isteri ditahan di Ampang, Selangor, kelmarin.

Berita berkaitan

Suspek bunuh Aleya direman

Toto berdarah di bilik Aleya

[UPDATE] Bedah siasat Jumaat ini

'Achik, Aleya dah mati...'

Kronologi penemuan mayat Nur Aisyah

[UPDATE] Suspek bunuh Nur Aisyah Aleya bebas dadah

Mayat Nur Aisyah disumbat dalam beg pakaian

[UPDATE] Kerap dengar tangisan budak

[UPDATE] Panik punca buang mayat

[UPDATE] Hanya cebisan rambut, tengkorak Nur Aisyah

[UPDATE] Mayat Nur Aisyah dah ditemui

Dari Langkawi lari ke Ampang...

'Kanak-kanak perempuan 3 tahun hilang'

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 1:55pm
d