mutakhir

[UPDATE] Pemimpin Malaysia kutuk tragedi tembakan di Christchurch

Oleh BERNAMA

TRAGEDI tembakan rambang di dua masjid di New Zealand hari ini mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pemimpin tempatan.

Mereka mengutuk tindakan yang disifatkan tidak berperikemanusiaan itu selain menyampaikan takziah dan simpati kepada mereka yang terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menzahirkan rasa dukacita dengan serangan yang berlaku ketika umat Islam sedang beribadah sehingga menyebabkan puluhan maut.

“Saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan mendoakan mangsa beroleh syahid yang tertinggi.

“Saya mendoakan umat Islam di sana serta seluruh dunia dilindungi Allah SWT dan dijauhkan daripada segala bahaya dan ancaman seperti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataannya turut mengutuk tragedi itu yang disifatkan sebagai keganasan ke atas orang yang tidak bersalah.

“Saya terkejut dan sangat sedih dengan berita kejadian tembakan di masjid di Christchurch, New Zealand.

“Saya mengutuk, dalam istilah yang paling kuat, keganasan terhadap orang yang tidak bersalah,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin turut mengecam kejadian keganasan itu dan berharap pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Salam takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. Semoga keadaan kembali aman di New Zealand,” katanya.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengharapkan semua penuntut Malaysia di New Zealand berhati-hati dengan kejadian tembakan itu.

“… pihak KPM akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut,” katanya dalam catatan dalam laman Twitter.

Turut mengucapkan takziah dan melahirkan simpati ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan tidak bertamadun serta bercanggah dengan nilai kemanusiaan hingga meragut nyawa orang awam.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya dan terus mengikuti rapat perkembangan kejadian tembakan rambang. Menurut Polis New Zealand, situasi masih bahaya dan mereka masih dalam usaha memberkas pelaku dalam kejadian itu.

“Saya dimaklumkan seorang warga Malaysia dilaporkan cedera dan kini dalam keadaan stabil. Saya berharap mangsa kuat dan cekal ketika melalui saat ini dan cepat pulih,” katanya.

Media hari ini melaporkan kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch dipercayai menyebabkan sekurang-kurangnya 40 maut setakat ini manakala seorang rakyat Malaysia disahkan cedera.

Berita berkaitan

'Saya hanya nak suami selamat'

[UPDATE] Tiada rakyat kita maut setakat ini

[UPDATE] 40 maut, lebih 20 cedera

Azmin kutuk kejadian tembakan rambang

Wajah pengganas

'Suami biasa solat di masjid itu'

[UPDATE] Seorang rakyat kita cedera

Periksa rakan dan ahli keluarga di Christchurch

Tembakan dalam masjid di New Zealand

Siar serangan secara langsung

Peluru lintas kepala

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 4:35pm
d