mutakhir

Jangan kongsi video tembak

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai untuk tidak berkongsi atau pun menyebarkan rakaman video berhubung insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand hari ini.

Menurut kenyataan suruhanjaya berkenaan, tindakan itu perlu bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengundang suasana panik dan marah dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai juga diminta menghormati sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa yang terbabit.

“Pada masa sama, pihak SKMM akan turut bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan untuk menurunkan rakaman berkenaan,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, SKMM menegaskan, sebarang perkongsian kandungan yang bersifat mengancam dan jelik adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Katanya, suruhanjaya itu memandang serius perkara ini dan mana-mana pihak yang terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

Media antarabangsa melaporkan, penyerang bersenjata yang melepaskan tembakan rambang di sebuah masjid di bandar ini ketika jemaah sedang bersolat Jumaat dan membunuh beberapa mangsa dipercayai turut menyiarkan secara langsung serangan itu di media sosial.

Satu akaun twitter dengan nama Jack Dawkins menyiarkan video yang memaparkan seorang lelaki menggunakan senjata automatik melepaskan tembakan dalam sebuah masjid.

Video itu turut tertera “amaran rakaman sensitif ” dan tanda pagar Christchurch.

Berita berkaitan

'Saya hanya nak suami selamat'

[UPDATE] Tiada rakyat kita maut setakat ini

[UPDATE] 40 maut, lebih 20 cedera

Azmin kutuk kejadian tembakan rambang

Wajah pengganas

'Suami biasa solat di masjid itu'

[UPDATE] Seorang rakyat kita cedera

Periksa rakan dan ahli keluarga di Christchurch

Tembakan dalam masjid di New Zealand

Siar serangan secara langsung

Peluru lintas kepala

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 5:11pm
d