mutakhir

Perompak lif stesen MRT dipenjara, sebat

Oleh Murni Wan Omar

TINDAKAN lelaki yang sebelum ini videonya tular merompak dan mencederakan wanita di sebuah lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, menerima padah apabila Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan lima sebatan terhadapnya.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu terhadap G Thinathayaalan, 26, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa bermula dari tarikh tangkapan iaitu 18 Februari lalu.

Hakim Mahyon ketika membacakan keputusannya berkata, pembelaan yang dikemukakan tertuduh adalah penafian semata-mata.

“Mahkamah mengambil maklum bahawa tertuduh memberi pembelaan dalam kandang tertuduh.

“Bagaimanapun mahkamah juga meneliti rakaman kamera tertutup (CCTV) berulang kali,” katanya.

Tertuduh yang sebelum ini mengaku tidak bersalah dipanggil membela diri selepas sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Thinathayaalan ketika membela diri menafikan bahawa baju di dalam CCTV miliknya dan mendakwa tiada DNA miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan rompak dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Lee Meei Shan, 48, dengan melarikan kad pengenalan, lesen memandu, dua kad ATM bank, dua kad kredit bank dan wang tunai RM400 di dalam lif Stesen MRT, Taman Mutiara, Cheras pada 6.45 pagi, 14 Februari lalu.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap kesalahan merompak dilakukan tertuduh.

Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala, muka dan badan serta masih trauma.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan.

Sebelum ini, media melaporkan insiden samun itu dirakam CCTV dalam lif berkenaan dan tular selepas dimuat naik di media sosial sejak hari kejadian.

Dalam rakaman selama 57 saat, lelaki itu dilihat menumbuk mangsa beberapa kali sebelum menarik rambut dan menendang wanita berkenaan.

Tertuduh kemudian menarik beg tangan mangsa dan mengambil dompet wanita itu sebelum melarikan diri.

Video berkenaan yang tersebar luas di media sosial menerima kecaman hebat dalam kalangan netizen.

Berita berkaitan

Penyamun MRT didakwa [METROTV]

Pasukan petugas khas pantau MRT

Botak pun dapat cam jugak...[METROTV]

Direman seminggu

[UPDATE] Suspek belasah dalam lif ditahan

Ganjaran RM10,000 buru penyamun MRT

Belasah, samun dalam lif [METROTV]

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 9:57pm
d