mutakhir

Tetak sebab tak layan

Oleh Norizuan Shamsuddin

TIDAK melayan kerenah suspek yang sakit mental dipercayai menjadi punca Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ditetak di hadapan rumahnya di Jertih, Khamis lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum proses pendakwaan.

“Motif utama seperti mana yang dijelaskan sendiri oleh Mohd Zamri memang isunya ialah kerana dia tidak berapa melayan kerenah suspek berikutan lelaki terbabit mempunyai masalah mental.

“Disebabkan itu, mungkin suspek tidak suka atau sakit hati (pada mangsa) sehingga menyebabkan dia ambil tindakan menyerang Mohd Zamri.

“Bagaimanapun, kita masih lagi melakukan siasatan dan suspek juga masih direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, di Marang, hari ini.

Mengulas mengenai keadaan Mohd Zamri, Aidi berkata, mangsa masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Katanya, mangsa juga sudah sedarkan diri dan dilaporkan stabil selepas menjalani dua pembedahan di bahagian ibu jari tangan kanannya yang putus akibat ditetak suspek menggunakan parang.

“Ibu jari tangan kanannya memang tak dapat diselamatkan kerana dijangkiti kuman jika dibiarkan dia akan berjangkit ke otak.

“Namun, masih awal lagi untuk memutuskan sama ada dia akan menggunakan jari palsu atau sebaliknya kerana perlu tunggu lukanya sembuh terlebih dahulu,” katanya.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, Mohd Zamri parah pada kepala, selain putus ibu jari tangan kanan selepas ditetak dengan parang panjang oleh lelaki berusia 33 tahun yang juga jirannya.

Sebelum kejadian, Mohd Zamri yang baru tiba di rumahnya untuk menyalin pakaian didatangi suspek yang menaiki Perodua Kembara untuk membuat aduan berkaitan tanah.

Bagaimanapun, sewaktu berbual, lelaki kurang siuman itu secara tiba-tiba mengeluarkan parang panjang dari dalam kereta lalu menetak Mohd Zamri.

Berita berkaitan

KPD Besut stabil selepas pembedahan kedua

'Lelaki tetak KPD Besut direman'

'[UPDATE] Suspek tetak KPD dah kena tahan'

'Ketua Polis Daerah Besut cedera ditetak'

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 2:11pm
d