mutakhir

Azmin ucap takziah

Oleh BERNAMA

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seorang rakyat Malaysia yang maut dalam kemalangan bas di Afyonkarahisar, Turki, semalam.

“Saya dukacita dengan laporan awal bahawa seorang rakyat Malaysia yang juga anggota PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) meninggal dunia dalam kemalangan itu, manakala 10 orang lagi mengalami kecederaan.

“Takziah buat keluarga mangsa kemalangan dan keluarga besar PKNS atas kehilangan itu. Semoga mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan untuk menerima ketentuan Allah SWT.

“Saya juga mendoakan supaya mangsa lain segera sembuh dan selamat,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas Menteri Besar Selangor itu, turut menzahirkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Turki serta pihak berkuasa tempatan atas bantuan segera yang diberikan kepada mangsa dan keluarga yang terbabit.

Turut menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa kejadian itu, ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari.

“Tragedi kemalangan yang membabitkan 35 orang kakitangan PKNS di Turki, seorang daripadanya, Azalan Miswan sudah meninggal dunia. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya.

“Salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham serta pihak PKNS. Al Fatihah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Menurut kenyataan Wisma Putra bas yang dinaiki oleh rombongan 35 rakyat Malaysia itu terbabit kemalangan pada 11.35 pagi waktu tempatan, ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodocia.

Bahagian Komunikasi Korporat PKNS turut mengesahkan bas terbabit dengan kemalangan itu membawa rombongan 35 kakitangannya yang sedang melancong ke negara itu.

Berita berkaitan

'Tiada lagi kawan lumba ke surau'

[UPDATE] Waris masih tunggu maklumat susulan

Identiti rakyat Malaysia maut di Turki dikenal pasti

[UPDATE] Saya doakan mereka selamat

[UPDATE] PKNS tunggu maklumat kemalangan di Turki

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 1:35pm
d