mutakhir

'Saya boleh 'sign' guna tangan kanan'

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

“SAYA akui sukar untuk menggunakan tangan kiri kerana sudah terbiasa menggunakan tangan kanan sebelum ini.

“Alhamdulillah, hasil melakukan latihan fisioterapi setiap minggu saya sudah boleh guna jari tangan kanan untuk tandatangan dokumen serta menulis perkataan secara ringkas.”

Itu perkembangan terbaharu dikongsikan bekas Ketua Polis Daerah Besut (KPD), Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, yang putus ibu jari kanan selepas ditetak lelaki Ogos lalu.

Mohd Zamri, 55, berkata, beliau melalui banyak pengalaman pahit dan manis yang tidak akan dilupakan sepanjang berkhidmat lebih tiga tahun di Besut.

“Tragedi 15 Ogos lalu apabila saya diserang seorang lelaki di hadapan rumah sehingga kehilangan ibu jari kanan tidak akan saya lupakan.

“Namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat sebagai anggota polis yang berdedikasi,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas KPD Besut kepada Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Kelantan, Superintendan Abdul Rozak Muhammad.

Majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut itu disaksikan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Mohd Zamri yang tamat cuti sakit esok akan mula berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kelantan bermula Ahad ini.

Katanya, sebagai ketua jabatan di bahagian trafik, beliau perlu berlatih untuk menunggang motosikal trafik berkuasa tinggi.

“Buat masa ini tangan kanan saya belum cukup kuat untuk menggenggam, tetapi insya-Allah saya yakin ia akan bertambah baik selepas ini,” katanya.

Beliau turut berharap suspek yang menetak jarinya akan mendapat balasan setimpal dan difahamkan suspek kini menerima rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari 15 Ogos lalu, Mohd Zamri cedera di kepala dan putus ibu jari kanan akibat ditetak lelaki menggunakan parang di hadapan rumahnya di Taman Cardova Residence Padang Luas, Besut.

Kejadian berpunca apabila lelaki itu berang selepas Mohd Zamri enggan melayan kerenahnya dan menyuruh suspek yang juga jirannya itu pulang namun lelaki itu berang dan bertindak mengambil parang dalam kenderaannya.

Berita berkaitan

Sambung jari KPD Besut 14 jam

Lelaki tetak KPD Besut direman

[UPDATE] Suspek tetak KPD dah kena tahan

Ketua Polis Daerah Besut cedera ditetak

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 5:36pm
d