mutakhir

Demi mengejar cita-citaku...

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SELEPAS setahun penglihatan terjejas akibat ketumbuhan di kepala, johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2018, Muhammad Azwar Mohd Ariff, 13, kini belajar membaca al-Quran braille bagi membantunya mengejar cita-cita sebagai guru al-Quran.

Ibunya, Che Anisah Md Saad, 44, berkata, Azwar mempelajari tulisan itu menerusi telefon bersama seorang guru al-Quran braille, Sumairi Zainol yang berada di Kuala Lumpur.

Katanya, walaupun pada mulanya Azwar sukar untuk menerimanya, namun dia kini mengenali huruf-huruf hijaiyah braille terawal iaitu alif, ba dan ta.

"Sepatutnya saya menghantar Azwar belajar dengan seorang guru al-Quran braille di Sungai Petani, namun saya dan suami buat keputusan untuk dia belajar secara telefon sahaja akibat kekangan kewangan untuk berulang alik dari Sik ke Sungai Petani setiap hari.

"Jika ikutkan, Ustaz Sumairi mahu mengambil Azwar untuk tinggal dengannya di Kuala Lumpur, tetapi Azwar masih memerlukan rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Sik beberapa kali dalam sebulan.

"Azwar baru enam hari belajar, tetapi nampak dia bersemangat untuk belajar, abjad a, b, c pun dia sedang belajar, saya nampak dia mahu majukan diri walaupun keadaan kesihatannya tak seperti kanak-kanak lain," katanya yang tinggal di Pondok Tok Guru Haji Salleh, Sik ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Azwar disahkan menghidap ketumbuhan di kepala yang menyekat pengaliran air ke tulang belakang dan doktor melakukan pembedahan menebuk bahagian itu bagi mengeluarkan air, tahun lalu.

Pada majlis Sambutan Maal Hijrah 2018, Azwar yang berkerusi roda, antara penerima anugerah yang disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Ibu kepada lima anak itu, berkata penglihatan Azwar sangat terhad dan hanya boleh nampak samar-samar individu yang berada di hadapannya.

Katanya, Azwar juga sedang belajar menggunakan tongkat di hospital dan turut melakukan terapi mata seperti melukis.

"Tahun lalu dia menyatakan rasa terkilan tak dapat menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana bimbang gagal menjadi guru kerana tidak memiliki sijil.

"Tapi saya sering pujuk Azwar supaya dia tak risau kerana rezeki itu hak Allah, mungkin satu hari nanti dia dapat jadi guru al-Quran braille dan membantu insan lain yang senasib," katanya.

Che Anisah yang juga guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), berkata dia menggunakan hampir kesemua gajinya setiap bulan untuk merawat Azwar.

Katanya, selain itu suaminya, Mohd Ariff Ismail, 47, bekerja sebagai tukang rumah secara sambilan kerana perlu membawa Azwar ke hospital untuk rawatan susulan.

Mereka yang mahu membantu boleh menghubungi Che Anisah menerusi nombor telefon 01124253733.

Berita berkaitan:

  • Dulu johan Tilawah al-Quran, kini...
  • 'Allah SWT sayangkan Azwar'
  • Azwar semangat nak ke sekolah
  • 'Terima kasih doakan kesembuhan Azwar' [METROTV]
  • Azwar rindu mengaji al-Quran
  • Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 4:03pm
    d