mutakhir

Pati tak pernah dilayan macam binatang - MCCF

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LAPORAN dokumentari yang diterbitkan media antarabangsa, Al Jazeera dianggap berniat jahat dan cuba untuk mengancam keselamatan negara.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Halim Ishak berkata, laporan yang dikeluarkan juga tidak tepat, dan tidak menggambarkan situasi sebenar.

Menurutnya, tuduhan kerajaan melayan pendatang asing tanpa izin (Pati) seperti anjing juga tidak benar, kerana kerajaan hanya menjalankan penguatkuasaan undang-undang.

"Sekiranya mereka (Pati) dilayan seperti binatang, kenapa majoriti mereka tidak mahu pulang ke negara asal? Ini menunjukkan mereka memperakui kerajaan Malaysia tidak berlaku zalim ke atas Pati.

"Negara jiran, Singapura juga mengenakan hukuman rotan kepada Pati yang berada di negara mereka manakala Malaysia hanya mengenakan hukuman denda dan pengusiran balik," katanya kepada Harian Metro.

Halim turut menggesa supaya kerajaan tidak gentar dengan ancaman pihak luar.

"Malaysia sebuah negara berdaulat dan kami tidak perlu pihak luar untuk mengajar cara kita mengurus tadbir pentadbiran dan keselamatan negara.

"Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia, kami menyokong penuh tindakan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan menangani isu Pati ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Laporan dokumentari Al Jazeera bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' berdurasi 25 minit 50 saat mendakwa terdapat isu perkauman ketika mengendalikan pandemik Covid-19.

Video yang disiarkan di saluran rasmi Youtube Al Jazeera English kelmarin itu turut mencetuskan kemarahan rakyat di negara ini.

Berita berkaitan:

  • Lagi laporan polis terhadap Al Jazeera
  • Semua negara tak benar Pati bebas ketika Covid-19: KPN
  • 'Saya cabar Al Jazeera' [METROTV]
  • Rakyat mahu kerajaan tegas terhadap PATI
  • Bertegas dengan warga asing bermasalah
  • Malaysia bertindak terhadap Pati ikut undang-undang
  • Laporan Al Jazeera tidak benar
  • Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 7:48pm
    d