mutakhir

Napoh sepi, penduduk bimbang [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

"SUDAH 14 tahun saya tinggal di sini. Perasaan bimbang itu tidak boleh digambarkan," kata Mohd Hadi Ahmad, 47, berikutan Kluster Sivagangga melibatkan pemilik kedai nasi kandar di Napoh, Kubang Pasu disahkan positif Covid-19 dan melanggar peraturan kuarantin.

Mohd Hadi yang juga pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba berkata, dia akan menjalani saringan Covid-19 petang ini selepas pernah makan di kedai berhampiran kedai terbabit.

Pemilik kedai nasi kandar itu yang pulang dari India, 13 Julai lalu disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas pemeriksaan saringan kedua.

Sebelum itu, polis menahan lelaki berusia 57 tahun itu kerana ingkar arahan kuarantin di rumah.

Sehingga semalam, kluster ini merekodkan 20 kes positif Covid-19.

"Penduduk di kawasan taman perumahan saya juga bimbang dan mengambil langkah berjaga-jaga.

"Saya sendiri mempunyai anak yang bersekolah di sini. Alhamdulillah, kerajaan mengambil langkah awal dengan menutup sekolah walaupun saya difahamkan belum ada kes positif dari SK Hosba," katanya yang tinggal di Taman Seri Hosba.

Bapa kepada empat orang anak ini berkata, dia kini tidak lagi membenarkan anaknya keluar rumah sesuka hati kecuali atas urusan penting.

Semenara itu, tinjauan di sekitar daerah Kubang Pasu mendapati aktiviti penduduk berjalan seperti biasa namun keadaan di Pekan Napoh lengang dan kebanyakan premis perniagaan seperti kedai makan dan Pusat Komuniti Desa tidak beroperasi.

Hanya kedai runcit, kedai 'hardware' dan stesen minyak beroperasi seperti biasa.

Sekatan Jalan Raya (SJR) di beberapa kawasan membabitkan kluster berkenaan mula dilaksanakan terutama di Napoh.

Lima sekolah di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap turut ditutup hari ini manakala sekolah lain di beroperasi seperti biasa.

Sekolah yang ditutup adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, SMK Megat Dewa, SK Hosba, SK Megat Dewa dan SK Kubang Palas.

Berita berkaitan:

  • Rela PKPD asalkan Kedah bebas Covid-19
  • 2 keluarga pelanggan restoran Kluster Sivagangga
  • Kluster Sivagangga: Satu keluarga dijangkiti Covid-19?
  • Kes Covid-19 nasi kandar Napoh, 73 tadika, taska diarah tutup
  • Siapa yang singgah di kedai nasi kandar pekan Napoh, sila buat saringan Covid-19 [METROTV]
  • Lelaki 'gelang pink' dikompaun RM1,000
  • 2 kluster baharu
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 2:56pm
    d