mutakhir

Mangsa pukul beri keterangan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PENGAWAL keselamatan yang dipukul di tempat letak kereta di Wangsa Maju, Kuala Lumpur sehingga video tular media sosial sudah tampil memberi keterangan semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, polis Wangsa Maju sudah bekerjasama dengan pihak Kedutaan Nepal untuk mengesan mangsa kejadian susulan tular video itu.

Menurutnya, lelaki warga Nepal berusia 26 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dan mengaku mangsa kejadian.

"Keterangan lengkap kejadian telah diambil oleh pegawai penyiasat kes dan mangsa memberikan kerjasama yang penuh bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan kini dalam proses akhir untuk dilengkapkan sebelum dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rajab berkata, polis Wangsa Maju mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama yang diberikan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti jenayah kerana tindakan tegas berdasarkan undang-undang akan diambil kepada mereka yang ingkar," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur membuat laporan polis berhubung penyebaran klip video menunjukkan seorang pengawal keselamatan dipukul.

Klip video yang bertarikh 7 Julai lalu itu menunjukkan seorang lelaki menampar dan memukul lelaki berpakaian seragam pengawal keselamatan dengan sebatang kayu.

Dalam klip video berdurasi 44 saat itu, pengawal keselamatan dipercayai warga Nepal itu tidak melawan ketika dipukul seorang lelaki dipercayai majikannya.

Susulan itu, polis menahan lelaki warga Nepal yang dipercayai memukul pengawal keselamatan dalam kejadian di parkir kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju.

Berita berkaitan:

  • 'Samseng' Nepal dah kena cekup
  • Pukul pengawal keselamatan: Dua warga Nepal disekat keluar
  • 'Tunggu masa kena cekup'

    'Lelaki Pakistan pukul pengawal keselamatan diburu'

    'You mari sini cari kerja ke cari masalah'

    Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 10:15am
    d