mutakhir

PGA ditembak: Mendiang dibawa ke Bahau selepas selesai bedah siasat [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3, Bidor Perak yang maut ditembak ketika menjalankan tugas rondaan di sempadan Perlis masih menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mendiang Koperal Baharudin Ramli, 54, akan dibawa untuk disemadikan di kampungnya di Bahau, Negeri Sembilan sejurus selesai urusan di sini.

Menurutnya, proses bedah siasat bermula 2.10 petang hari ini dan sehingga 3.45 petang masih belum selesai.

"Proses penghantaran mendiang akan dilakukan dari sempadan ke sempadan dan pihak kami akan mengiringinya sehingga sempadan Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk ke destinasi seterusnya.

"Kami seluruh warga Kontinjen Kedah mengucapkan takziah kepada keluarganya kerana mendiang berkorban nyawa ketika menjalankan tugas di kawasan sempadan dalam Ops Benteng menjaga keamanan negara," katanya ketika ditemui di sini.

Hasanuddin berkata, beliau turut menasihatkan semua pasukan keselamatan dan anggotanya yang bertugas di sempadan supaya berhati-hati ketika menjalankan tugas.

Beliau berkata, kawasan sempadan negara nampak tenang tetapi gelodaknya tidak nampak dan perlu sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugas.

"Saya pergi ke lokasi kejadian tadi dan mendapati kawasan itu ada tembok dan pagar keselamatan, malah insiden ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Hasanuddin berkata, kawalan sempadan Malaysia-Thailand termasuk laluan darat dan laut di negeri ini juga akan dipertingkatkan untuk mengelak dari insiden seperti ini berulang.

Ia adalah kejadian kedua membabitkan tembakan di sempadan yang mana kejadian sebelum ini berlaku di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, anggota PGA terdengar bunyi tembakan dan api sebelum menemui dua kelongsong peluru di kawasan sempadan.

Berita berkaitan

'Pemergian Baharuddin kehilangan besar buat negara''

Anggota VAT69 pantau lokasi serangan - KPN'

Anggota PGA maut diserang: KDN arah siasatan menyeluruh'

Ketua Polis Negara sahkan anggota PGA maut ditembak'

'Sindiket penyeludupan dipercayai serang anggota PGA'

'Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand'

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 4:56pm
d