utama

[UPDATE] Kes dadah pelakon, polis tetap teruskan siasatan

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS tetap menjalankan siasatan terhadap pelakon wanita popular yang ditahan semalam kerana disyaki memiliki 53 biji pil dipercayai Erimin 5, semalam, biarpun artis itu mendakwa disabotaj.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Roslan Khalid berkata, pihaknya kini menyiasat sama ada pil berbalut kerajang aluminium (aluminium foil) yang ditemui dalam beg tangan wanita itu adalah dadah atau sebaliknya.

Katanya, selepas selesai proses itu, barulah siasatan akan menjurus kepada bagaimana dadah itu berada dalam simpanannya.

"Susulan penemuan bahan itu bersama pelakon terbabit, kita perlu menjalankan siasatan terperinci mengenainya. Siasatan ini termasuklah untuk mengesahkan bahawa bahan itu dadah atau bukan, dengan menghantar bahan itu ke makmal.

"Hanya selepas mendapat keputusan ujian makmal, barulah kita akan menjurus kepada siasatan lain termasuk bagaimana bahan itu berada bersamanya, termasuk unsur sabotaj," katanya.

Menurut Roslan, tidak timbul isu bahawa polis akan menghentikan siasatan berdasarkan dakwaan pelakon itu yang menyatakan dia disabotaj.

Semalam, akhbar ini melaporkan seorang pelakon wanita popular ditahan polis selepas disyaki memiliki enam bungkusan aluminium berisi 53 pil Erimin 5 di dalam beg tangan miliknya.

Dadah itu ditemui apabila pelakon jelita berusia 26 tahun itu dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Burhanuddin Helmi, jam 11.45 pagi, semalam.

Bagaimanapun, pelakon berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis malam semalam, selepas keterangannya diambil.

Berita berkaitan:

'Saya tak lalok'

'Terkejut... Uqasha seorang yang ceria' - Hisyamis

Elizad ganti Uqasha

[UPDATE] Kes dadah, pelakon jelita bebas dengan jaminan polis

Pelakon wanita kantoi dadah

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 7:56pm
d