utama

'Saya hanya nak suami selamat'

Oleh Suraya Roslan

RAHIMI Ahmad, 39, seorang daripada dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam tembakan rambang dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Christchurch, New Zealand.

Isterinya dikenali sebagai Azila berkata, ketika ini dia tidak mengetahui keadaan suaminya namun anak lelakinya berusia 11 tahun selamat.

“Suami ke Masjid Al Noor di Deans Avenue untuk solat Jumaat, manakala anak saya sedang bermain di luar masjid dan sempat ditarik jemaah lain sebaik mendengar bunyi tembakan dalam masjid.

“Anak saya dibawa ke sebuah rumah untuk berlindung manakala suami masih tidak diketahui keadaan,” katanya seperti dilaporkan portal tempatan, NZHerald.

Katanya, ketika ini dia hanya mampu berdoa suaminya selamat dalam insiden berkenaan.

“Saya hanya mahu tahu suami selamat, kini saya berdoa dan berharap dia menghubungi saya.

“Suami ada membawa telefon bersama, saya pasti dia akan menghubungi saya nanti. Sekarang saya tidak pasti apa terjadi kepada dia,” katanya.

Azila berkata, suaminya ke masjid sekitar jam 1 tengah hari (waktu tempatan), bersama anak lelakinya.

“Sebaik saya mengetahui mengenai insiden tembakan berkenaan, saya terus risau mengenai keselamatan mereka.

“Saya dihubungi rakan memaklumkan anak lelaki selamat tetapi nasib suami tidak diketahui berikutan dia berada dalam masjid ketika insiden berkenaan,” katanya.

Azila berkata, Rahimi berasal dari Pulau Pinang, Malaysia dan keluarga mereka menetap di Christchurch sudah lima tahun.

“Kami diberitahu untuk berada dalam rumah, saya tidak tahu apa perlu dilakukan sekarang dan mahu hubungi siapa.

“Saya masih menunggu dan berdoa untuk mengetahui keadaan suami selamat atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Rakyat Malaysia Canterbury Sam Yau berkata pihaknya sudah dihubungi oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia mengenai keadaan Rahimi.

“Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi mengenai keadaan Rahimi sekarang,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tiada rakyat kita maut setakat ini

[UPDATE] 40 maut, lebih 20 cedera

Azmin kutuk kejadian tembakan rambang

Wajah pengganas

'Suami biasa solat di masjid itu'

[UPDATE] Seorang rakyat kita cedera

Periksa rakan dan ahli keluarga di Christchurch

Tembakan dalam masjid di New Zealand

Siar serangan secara langsung

Peluru lintas kepala

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 4:17pm
d