utama

'Kalau nak sedekah, buat senyap-senyap'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“ARWAH selalu berpesan kepada saya, jika kita hendak beri sedekah atau zakat, jangan beritahu orang. Kita buat senyap-senyap, biar Allah SWT yang nilai.

“Saya akan ingat pesanan arwah ini dan sejak awal Ramadan lagi dia mula memberi sumbangan dan mahu menyelesaikan urusan zakat kepada golongan yang memerlukan sebelum 15 Ramadan,” kata Natasha Maria Akhamat, 37, rakan baik pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 40.

Natasha Maria yang memiliki perniagaan pengiklanan mengenali arwah sejak 11 tahun lalu berkata, arwah rakannya itu tergesa-gesa mahu memberi zakat perniagaannya kepada golongan memerlukan termasuk pondok, tahfiz dan anak yatim.

Katanya, berbanding sebelum ini, dia akan menyelesaikan urusan zakat sepanjang Ramadan.

“Saya dimaklumkan arwah sudah membeli keperluan raya anak dan anak saudaranya sejak daripada awal lagi.

“Mungkin arwah tahu dia akan pergi, jadi dia membuat persiapan awal bagi menyenangkan orang disayanginya,” katanya ketika ditemui Kampung Paloh, Tumpat, hari ini.

Menurutnya, mereka bukan sahaja bersahabat baik atas urusan kerja, malah menganggap arwah seperti adik beradik apabila sering melakukan aktiviti bersama termasuk bercuti di luar negara.

“Saya sering mengajak arwah supaya bercuti kerana kehidupannya terlalu sibuk memikirkan urusan perniagaan.

“Jadi sebagai rakan, saya akan membeli tiket kapal terbang dan memintanya supaya bercuti.

“Kami sudah pergi ke beberapa negara dan selepas Aidilfitri ini kami merancang mahu bercuti ke Maldives atau Dubai, namun ia tidak kesampaian,” katanya.

Sementara itu, rakan perniagaan, Datin Nur Shahida Mohd Rashid berkata, dia mengenali arwah sejak 10 tahun lalu.

“Saya boleh kata arwah kakak sangat baik. Apabila saya datang ke sini, dia akan mengirimkan pelbagai jenis makanan untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.

“Kami kehilangan rakan perniagaan yang terlalu baik dan tidak pernah menyakitkan hati orang lain. Walaupun berniaga kosmetik dan perlu bersaing, tetapi kami sering memberi sokongan di antara satu sama lain,” katanya.

Metro Ahad hari ini melaporkan, Faziani Rohban meninggal dunia dalam kemalangan di Pattani, Thailand, semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi (waktu tempatan), kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dipandu suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, merempuh lori.

Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di bahagian penumpang hadapan dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suaminya cedera.

Berita berkaitan:

  • Damailah di sana, Faziani
  • Tahlil buat diri sendiri
  • Faziani dirindui artis
  • 'Ampunkan mami saya jika ada salah silap'
  • Pemergian Faziani kehilangan besar dunia perniagaan
  • ‘Mama pesan... jangan berebut harta’
  • Pengasas Dnars maut kemalangan
  • Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 8:21pm
    d