mutakhir

[UPDATE] Sumbangan TKHM bantu ringan beban penduduk

Oleh Muhammad Apendy Issahak dan Rosman Shamsudin

“SAYA tak pernah terima sumbangan seperti ini, terharu kerana sudi datang rumah dan ziarah saya,” kata Che Siti Shafiei, 54.

Penduduk Kampung Balun, Slim River itu sayu apabila menerima sumbangan barangan keperluan dan duit raya sempena program Titipan Kasih Harian Metro bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Sumbangan disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Tuan Mohd Asri Tuan Hussein bersama Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Turut serta Pengarang Eksekutif Komersial HM merangkap Pengerusi Penganjur TKHM 2019, Husain Jahit; Ketua Bahagian Sumber Manusia PLUS, Norma Mohd Razalli; Ketua Bahagian Korporat Komuniti dan Perhubungan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid serta sukarelawan PLUS dan HM.

Che Siti atau lebih mesra dipanggil Mak Tam sayu menerima kunjungan TKHM dan bersyukur kerana sumbangan diterima dapat meringankan bebannya sekeluarga sepanjang Ramadan dan persiapan menjelang Aidilfitri kelak.

“Saya empat beranak, gaji suami dan saya yang bekerja sebagai tukang cuci tidaklah seberapa sebulan dengan adanya sumbangan ini dapatlah meringankan sedikit beban kami,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sharif Khalid, 58, yang lumpuh separuh badan berkata, dia terharu dengan kunjungan penganjur TKHM ke rumahnya untuk memberi bantuan dan bertanya khabar.

“Terkejut kerana ketika saat saya diuji dengan dugaan ini (lumpuh) masih ada lagi insan prihatin agar saya dan keluarga dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya bersyukur dan berterima kasih atas usaha murni Harian Metro serta PLUS dan berharap program ini diteruskan kerana bermanfaat kepada golongan kurang upaya (OKU) seperti saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Ibu tunggal, Andon Rahim, 82, yang menghadapi masalah pendengaran pula berkata, bantuan yang diterima itu memang diharapkan bagi persediaan menyambut hari raya.

“Dengan bantuan diberikan dapatlah saya menjalani puasa dengan tenang dan membuat sedikit persiapan menjelang hari raya.

“Terima kasih tidak terhingga, semoga jasa penganjur mendapat balasan dunia dan akhirat serta terus dimurahkan rezeki,” katanya.

Dalam program TKHM kali ini selain 200 kanak-kanak terdiri daripada anak yatim, asnaf dan OKU menerima sumbangan duit dan pakaian raya, 10 keluarga membabitkan golongan kurang berkemampuan seperti warga emas, ibu tunggal dan keluarga susah juga diberi sumbangan barang keperluan harian serta duit raya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Kongsi rezeki bersama'

'Anak isteri senyum gembira sambil bersyukur'

TKHM meriahkan Kampung Balun

Hidupkan kembali amalan 'rewang'

Terima kasih Honda Malaysia

Kampung Balun destinasi pertama TKHM

PLUS taja TKHM RM440,000

PLUS sumbang RM440,000 untuk TKHM Ramadan 2019 [METROTV]

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 5:32pm
d