mutakhir

'Wisma Putra banyak bantu'

Oleh Ruwaida Md Zain

“ALHAMDULILLAH, segala urusan membawa pulang jenazah arwah dipermudahkan sehingga ke saat pengebumiannya,” kata Wan Faridah Ahmad, isteri kepada Allahyarham Azalan Miswan, 50, yang maut dalam kemalangan bas di Turki, Rabu lalu.

Wan Faridah yang ditemui selepas selesai solat jenazah turut berterima kasih atas bantuan dan sokongan semua pihak yang banyak membantu menguruskan jenazah suaminya.

“Saya sangat bersyukur sebab Wisma Putra banyak menolong sejak awal lagi ketika kami ke hospital dan mahu melihat jenazah. Urusan sama ada boleh bawa pulang jenazah juga dibantu dengan baik.

“Mereka (Wisma Putra) banyak membantu dari petang hingga selesai kira-kira 10 malam (di hospital), jenazah terus diuruskan untuk dibawa pulang pada 12 tengah malam.

“Pagi tadi dibawa ke Istanbul dan balik ke sini. Wisma Putra juga maklumkan ia pertama kali proses yang cepat dapat dilakukan untuk membawa pulang jenazah kerana kebiasaannya mengambil masa empat ke lima hari,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) segala urusan juga dipermudahkan.

“Di KLIA sebentar tadi, ada pegawai Wisma Putra menyambut kami, sediakan makanan, kemudian penyerahan jenazah mereka aturkan semua, memang sangat membantu.

“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua yang datang menziarahi arwah, kawan-kawan, saudara kerana memudahkan pengurusan arwah suami saya,” katanya.

Sementara itu, anak bongsu arwah, Ariff Danial Azalan, 15, tidak dapat menahan sebak ketika ditanya mengenai arwah bapanya yang memberi pesanan terakhir sebelum ke Turki.

“Ayah ada pesan suruh belajar rajin-rajin,” katanya.

Azalan yang juga kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu selesai dikebumikan pada 9.30 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Dalam kejadian 11.35 pagi waktu tempatan Rabu lalu, Azalan maut selepas bas yang dinaiki bersama 34 rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya.

Berita berkaitan

Allahyarham Azalan selamat dikebumikan

Jenazah Azalan akan dibawa pulang

'Bas terhuyung-hayang sebelum terbabas dan terbalik'

Identiti rakyat Malaysia maut di Turki dikenal pasti [METROTV]

[UPDATE] Empat rakyat Malaysia parah di Turki

[UPDATE] 'Saya doakan mereka selamat'

[UPDATE] PKNS tunggu maklumat kemalangan di Turki

1 maut, 10 cedera, nahas bas di Turki

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 11:00pm
d