mutakhir

'Giliran saya pula bantu orang susah'

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: "Kini giliran saya pula bantu orang susah selepas ada kemampuan dalam usaha perniagaan sendiri," kata Haida Abdullah, 33.

Haida menyimpan hasrat membalas budi banyak pihak yang turut menyumbang bantuan hingga hidupnya membawa perubahan selepas kisah hidupnya sekeluarga miskin dan tinggal di pondok usang di Bukit Gajah, tular, tiga tahun lalu.

"Keadaan hidup saya bersama suami dan tiga anak mula berubah selepas menerima sumbangan berterusan daripada banyak pihak.

"Kami diberi bantuan rumah percuma daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan dapat menjadi usaha baharu," katanya di sini, hari ini.

Kenangan hidup miskin tinggal di pondok usang itu sudah berakhir dan mengajar Haida bersama suaminya,

Auseng Ngoh, 35, mencari nafas baharu.

Malah, tiga anak mereka termasuk Muhammad Hafiz Haikal, 12; Nur Asyikin, 11, dan Muhammad Syawal Fitri, 7, yang pernah tidak membawa wang saku ke sekolah sudah tidak lagi berdepan demikian.

Dia juga berterima kasih kepada akhbar Harian Metro dan Berita Harian yang banyak membantu hingga menerima sumbangan seumpama itu.

Menurut Haida, dia turut menerima pelbagai barang keperluan termasuk mesin jahit daripada pelbagai agensi kerajaan untuk hidup berdikari dengan menjahit.

Katanya, bermula dari situ kehidupannya mula berubah dan hasil keuntungan bidang jahitan itu juga turut disedekahkan kepada mereka miskin.

Malah, tambahnya, sumbangan juga diberikan kepada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKAGM) kerana pertubuhan itu yang mula membantunya.

"Sekurang-kurangnya sumbangan saya itu boleh membantu pula mereka yang hidup susah kerana saya amat mengerti perjalanan hidup mereka.

"Bagaimanapun, saya sekeluarga tidak lagi akan hidup lalai dan tetap melakukan apa sahaja asalkan boleh memberi rezeki," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Tidak mahu hidup miskin lagi'
  • Selamat tinggal teratak usangku
  • Alhamdulillah, ramai yang prihatin...
  • Mereka perlu dibantu
  • Tak mampu sewa rumah
  • Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 12:09pm
    d